X

Kindly register in order to view this article
!

93,302 pekerja di Johor mohon jalani saringan Covid-19 Perkeso

Seramai 9,975 pekerja di Johor telah disaring di bawah PSP Perkeso.
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 93,302 pekerja memohon untuk menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) menerusi Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor sejak ia diperkenalkan 27 April sehingga 10 Mei lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 66,632 adalah permohonan daripada pekerja tempatan manakala 26,670 melibatkan pekerja asing.

"Seramai 9,975 pekerja di Johor telah disaring di bawah program ini. Keputusan saringan bagi kesemua pekerja berkenaan adalah negatif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PSP Perkeso merupakan program percuma kepada pekerja termasuk pekerja asing yang berdaftar dengan Perkeso bagi syarikat yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tertakluk kepada garis panduan yang disediakan bermula 27 April lalu.

Program itu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada saringan Covid-19 melibatkan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan kawalan keselamatan.

Selain itu, beliau berkata, Perkeso turut menyediakan dua bentuk bantuan kepada majikan mahupun pekerja yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

R Vidyananthan
R Vidyananthan

Katanya, dua bantuan yang disalurkan ialah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU).

"Menerusi ERP, majikan diberi bantuan RM600 sebulan bagi pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

"Perkeso Johor setakat ini menerima sebanyak 3,533 permohonan hingga 22 April lalu dibuat majikan yang mencarum dengan Perkeso melibatkan seramai 28,853 pekerja," katanya.

Vidyananthan berkata, sebanyak 38,185 majikan membuat permohonan PSU melibatkan seramai 186,354 pekerja yang terjejas hingga 22 April lalu.

"Program berkenaan membantu majikan untuk mengekalkan pekerja mereka dengan memberi subsidi pada kadar RM600, RM800 dan RM1,200 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu ujarnya, Perkeso turut mengambil inisiatif dengan melakukan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tempoh bermula PKP hingga kini.

"Menerusi program CSR yang dijalankan, sebanyak 68 keluarga telah menerima manfaat. Keluarga yang terjejas ini telah menerima bantuan berupa barangan keperluan asas yang kos keseluruhan RM16,720," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus