Ramadan bulan paling sibuk

A
A
A

BANYAK kenangan bersama Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang tidak dapat dilupakan oleh Muhammad Sanusi Md Noor yang bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah ke-10 itu antara tahun 2008 sehingga 2013.

Muhammad Sanusi yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri dan pemimpin Pas yang menjadi Ketua Pembangkang di Kedah berkata, Ramadan adalah antara bulan yang paling sibuk buat Allahyarham untuk menguruskan pentadbiran kerajaan negeri Kedah termasuk turun ke semua daerah bagi menyantuni rakyat.

“Apabila tiba bulan Ramadan, memang kami tahu ia adalah bulan yang paling sibuk dengan pelbagai aktiviti. Setiap hari kami berbuka puasa di luar. Tak ada hari untuk berbuka puasa di rumah.

“Antara program yang diberi tumpuan pada bulan Ramadan ialah program sumbangan kepada guru al-Quran dan bidan kampung. Ia adalah program yang diilhamkan oleh Allahyarham Ustaz Azizan pada zaman pentadbirannya yang menjadi ikutan kerajaan seterusnya,” kata beliau kepada Sinar Harian di sini semalam.

Muhammad Sanusi berkata, bilangan penerima sumbangan program tersebut semakin bertambah pada setiap tahun dan rata-rata penerima gembira serta bersyukur atas usaha yang dilakukan Allahyarham Azizan.

“Walaupun selepas pemergian arwah pada 26 September 2013, pesanan dan teguran arwah tetap tersemat di jiwa sehingga hari ini.

“Bekerjalah bersungguh-sungguh pada waktu yang singkat ini. Kita akan berehat pada waktu yang panjang. Singkat itu dunia dan panjang itu akhirat. Itulah antara pesanan arwah,” kata Muhammad Sanusi.

Beliau turut mengakui berasa bertuah kerana dapat belajar secara langsung dengan seorang pemimpin yang dianggap antara Menteri Besar yang terbaik dalam kalangan rakyat Kedah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Allahyarham juga merupakan seorang yang kuat bekerja tanpa mengira masa walau di mana sahaja beliau berada dan hanya memikirkan mahu membawakan kesejahteraan kepada semua lapisan rakyat di Kedah.

“Antara buah tangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham untuk rakyat Kedah ialah kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Kuala Ketil, Baling.

“Satu lagi ikon yang menjadi mercu tanda Kedah ialah Aman Central iaitu dengan pembinaan semula bangunan Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai sejak 30 tahun lalu di tengah Alor Setar,” katanya