Hospital di India tertekan terima lonjakan kes Covid-19

 Kemudahan perubatan kini kekurangan kakitangan terlatih, keadaan diburukkan lagi apabila pekerja perubatan turut dijangkiti virus itu.
Kemudahan perubatan kini kekurangan kakitangan terlatih, keadaan diburukkan lagi apabila pekerja perubatan turut dijangkiti virus itu.
A
A
A

NEW DELHI - Kemudahan perubatan di India berdepan tekanan hebat di tengah-tengah lonjakan besar dalam kes Covid-19 walaupun kerajaan menguatkuasakan sekatan pergerakan di seluruh negara.

Keadaan itu mencetuskan krisis kekurangan pelaburan dalam sistem penjagaan kesihatan awam sedangkan hospital swasta menikmati pertumbuhan pesat.

Dengan kira-kira 82,000 kes positif, kes di India pada Jumaat bakal mencecah angka enam digit tidak lama lagi, dan jika kadar jangkitan terus melonjak, hospital mungkin akan dibebani dengan jumlah pesakit yang ramai.

"Andai kita berupaya mengurangkan jumlah kes di bawah 100,000, kita akan berada dalam situasi yang baik.Satu perkembangan positif ialah kebanyakan kes pada tahap ringan hingga sederhana tidak memerlukan ventilator," kata bekas presiden Persatuan Doktor di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS) di New Delhi, Dr Amarinder Singh Malhi.

AIIMS adalah kemudahan kesihatan awam utama di India dalam mengendalikan pesakit Covid-19.

Sementara itu, Dr Harjit Singh Bhatti, Presiden Forum Progresif Medicos dan Saintis berkata, beberapa negeri dilihat mampu menangani wabak Covid-19 dengan baik, manakala yang lain masih bertungkus lumus berjuang.

"Langkah pencegahan sekatan pergerakan tidak menghasilkan keputusan seperti dikehendaki. Kami masih tidak dapat meratakan lengkung jangkitan. Kita tidak boleh kenakan sekatan pergerakan untuk selama-lamanya.

"Hingga kini kita tidak mempunyai data epidemiologi tempatan dan profil pesakit umum, membolehkan kakitangan kesihatan memahami gejala umum dan merawat pesakit dengan lebih baik," kata Bhatti kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Sekatan pergerakan yang bermula 25 Mac lalu sepatutnya digunakan untuk memperluas kemudahan rawatan dan merekrut pekerja penjagaan kesihatan, kata Bhatti.

Kemudahan perubatan kini kekurangan kakitangan terlatih, keadaan diburukkan lagi apabila pekerja perubatan turut dijangkiti virus itu.

"Kami berdepan masalah kekurangan kakitangan kerana ada pekerja kesihatan di New Delhi positif Covid-19. Walaupun mempunyai ventilator, kita juga perlukan lebih ramai petugas terlatih untuk melakukannya," katanya.

Ketika wabak Covid-19 mula menular, doktor dan jururawat mengeluh kerana kekurangan kit ujian, penutup hidung dan mulut serta kelengkapan perlindungan diri (PPE), selain sikap masyarakat.

"Sekarang kelengkapan perubatan sudah tersedia. Apa yang kami perlukan ialah kesedaran dalam kalangan masyarakat. Mereka harus memakai penutup hidung dan mulut, mengamalkan penjarakan sosial dan bekerjasama mengesan kontak," kata Malhi.

Tatkala kerajaan berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai virus itu, ramai penduduk India panik dan ketakutan.

Pos pemeriksaan polis terpaksa diwujudkan negara untuk mengawal dan memastikan 1.3 bilion penduduk duduk di dalam rumah.

Diskriminasi terhadap doktor

Penularan wabak Covid-19 menyaksikan profesional perubatan mengalami diskriminasi, masyarakat seolah takut untuk mendekati mereka dan tidak menghargai usaha mereka.

"Masyarakat sepatutnya bertanggungjawab dan menghormati petugas perubatan," kata Malhi.

Kes Covid-19 India dijangka memuncak pada Jun atau Julai, menurut pakar perubatan.

Beberapa sekatan pergerakan dan aktiviti perniagaan akan dilonggarkan dalam beberapa hari lagi untuk mengelakkan ekonomi dan sosial terus merudum.

Pada masa sama, lonjakan kes Covid-19 perlu dibendung untuk mencegah bencana kesihatan.

Kira-kira 19,000 kes Covid-19 dilaporkan sejak Ahad.

Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan, berkata India setakat ini telah melakukan hampir dua juta ujian saringan Covid-19.

Standard perkhidmatan penjagaan kesihatan di setiap negeri berbeza kerana kekurangan dana, peralatan dan kakitangan, menimbulkan masalah besar menjadikan AIIMS dibebani dengan permintaan perkhidmatan kesihatan.

India mempunyai 7,740 kemudahan kesihatan awam di 483 daerah, yang menawarkan 656,769 katil di wad isolasi.

Jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 34,076, sementara 305,567 untuk kes positif, 351,204 kes disyaki dan 99,492 mesin bantuan oksigen.- Bernama