Sentimen menakhoda diri

A
A
A

Walaupun bulan Ramadan, nampak gayanya masih ramai yang gagal mendidik hati dan minda mereka supaya bersederhana dalam bertutur kata. Golongan ini bukannya calang-calang, mereka adalah dalam kalangan berpangkat dan berilmu. Pun begitu, budi bahasa mereka amat rendah, tidak padan dengan kedudukan mereka dalam masyarakat. Gejala ini berlaku tidak lain dan tidak bukan kerana tebalnya sentimen yang ada dalam diri masing-masing.

Sebetulnya, sentimen ini ada pada sesiapa sahaja. Apa yang membezakannya, sama ada kita boleh mengawal atau tidak. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, sentimen bermaksud perasaan hati yang berlebihan terhadap sesuatu sehingga berlawanan dengan akal fikiran dan suka menurut kata hati. Akibatnya, seseorang itu lekas tersinggung jika menyentuh seseorang individu atau kumpulan yang dipuja oleh mereka, serta sesuatu perkara yang dianggap sensitif olehnya.

Menurut perspektif psikologi pula, sentimen ini terbina dalam pemikiran individu berdasarkan kepada pembentukan emosi yang kompleks dalam diri mereka seperti marah, gembira, cemburu, sedih dan sebagainya. Ini bermakna, apabila kita gagal mengawal emosi maka sentimen mula mengawal minda dan akhirnya menakhodakan diri kita sehingga sudah tidak mengenali hati dan budi.

Berkaitan hal itu, saya tertarik dengan kisah seorang guru yang mengajar nilai moral yang baik kepada pelajar beliau. Beliau telah menceritakan kisah suami isteri yang terperangkap dalam sebuah kapal yang hampir tenggelam. Memandangkan tempat yang terhad di dalam bot penyelamat, kapten kapal hanya membenarkan salah seorang ahli keluarga menaiki bot tersebut dan mereka perlu membuat pilihan. Oleh itu, suaminya telah mengambil tempat tersebut dan meninggalkan isteri beliau bersama-sama dengan sebahagian penumpang yang lain.

Kisah suami yang sanggup tinggalkan isteri telah menjadi penghinaan oleh masyarakat kepada beliau termasuklah anak perempuannya sendiri. Pun begitu, setelah kematian beliau, anak perempuannya menjumpai diari yang ditulis oleh ayahnya iaitu, “Wahai isteriku yang tercinta, jika tidak kerana dirimu yang mempunyai penyakit kanser dengan jangka hayat yang cukup pendek, aku akan turut sama tenggelam bersama dengan dirimu ke dalam lautan dalam. Namun, demi kelangsungan hidup anak kita, engkau sanggup membuat pilihan untuk korbankan dirimu sendiri.” Selepas membaca diari tersebut anaknya terus menangis dan cukup menyesal dengan sikapnya selama ini. Begitulah juga saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat setempat.

Moral daripada kisah ini ialah sentimen kebencian tanpa merujuk kepada fakta dan sikap toleransi boleh menyebabkan kita tersasar jauh. Akhirnya, hanya malu dan sesal menghantui diri. Menurut perspektif Islam, sentimen ini berkaitan dengan sikap fanatik dan taksub. Lawan bagi perkataan ini ialah tasamuh (menghargai dan menghormati perbezaan) dan toleransi.

Hakikatnya, mereka yang gagal bertoleransi inilah yang akan menjadikan kata-kata kesat, fitnah, caci-mencaci, menyebar berita palsu dan pelbagai lagi sikap yang tercela sebagai ‘pakaian dan makanan’ harian mereka. Sedangkan ALLAH telah berfirman, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, 16:125)

Pada hemat saya, lingkaran ketaksuban yang menzahirkan sentimen ini perlu kita rungkaikan sebelum roh bercerai daripada badan. Apa yang penting, kita perlu istiqamah berdoa kepada ALLAH agar dijauhi daripada ‘menyembah’ manusia yang ada ciri-ciri berhala dalam diri mereka serta dilindungi daripada tersemainya sifat ‘berhala’ dalam diri kita sendiri.

Ingatlah, Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a pernah berkata, “Jangan mengawasi orang lain, jangan mengintai geraknya, jangan membuka aibnya, jangan menyelidikinya. Sibuklah dengan diri kalian. Perbaikilah aibmu kerana kamu akan ditanya oleh ALLAH mengenai dirimu, bukan mengenai orang lain.” Semoga kita sentiasa dalam rahmat ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Apabila kita gagal mengawal emosi maka sentimen mula mengawal minda.”

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis