Kekal ibrah Ramadan di bulan Syawal

Sambutan Syawal perlu disertakan dengan rasa syukur, gembira dan tenang. - Gambar hiasan
Sambutan Syawal perlu disertakan dengan rasa syukur, gembira dan tenang. - Gambar hiasan
A
A
A

SETELAH genap 30 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, Syawal diraikan sebagai tanda kemenangan.

Namun begitu, perlu ditanam dalam diri bahawa ibrah daripada bulan suci itu harus diteladani sepanjang masa dan tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja.

Kita digalakkan untuk terus istiqamah serta bersederhana dalam apa jua perkara terutama ketika menyambut Aidilfitri.

Walaupun sudah menjadi kebiasaan orang ramai memperuntukkan sejumlah wang bagi menyediakan kelengkapan raya, namun tidaklah perlu terikut-ikut dengan gaya berlebihan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk.

Jika diperhatikan, gaya hidup masyarakat kini kian diwarnai dengan kanvas kehidupan yang elegan dan berlebih-lebihan, terutama dalam hal persediaan untuk menyambut Syawal.

Namun bak kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’, begitulah kita dalam berbelanja melengkapkan keperluan.

Justeru, saranan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor perlu diambil sebagai panduan agar tidak tersasar daripada tujuan sebenar sambutan Aidilfitri.

Beliau mengingatkan supaya umat Islam di negara ini mengawal tindak tanduk agar tidak melampaui batas adab kesopanan yang munasabah termasuk dari segi makan, minum, berpakaian, hiburan dan pergaulan.

Menurutnya, perayaan bukan tiket untuk pembaziran, malah sikap bersederhana adalah lebih baik.

Seharusnya sambutan Syawal perlu disertakan dengan rasa syukur, gembira dan tenang setelah melalui latihan pendidikan sepanjang Ramadan yang menjadi medan tarbiyah untuk mencari sebuah kesempurnaan.

Walaupun sambutan hari raya di Malaysia biasanya diraikan hampir sepanjang Syawal dengan aktiviti ziarah menziarahi dan rumah terbuka, ada segelintir pihak menganggap amalan itu keterlaluan. Ini kerana sambutan hari raya yang disyariatkan Islam hanyalah sehari iaitu pada 1 Syawal.

Bahkan, di kala ada umat Islam lain di serata dunia sedang menderita, dizalimi, ditindas dan diselubungi kesedihan dengan pelbagai bentuk ujian daripada ALLAH SWT, kita berseronok dan berlebih-lebihan menyambut Syawal.

Seiring dengan mendalamnya maksud Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah, wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baharu dan mengekalkan momentum yang terjana ketika Ramadan.

Oleh itu, Ramadan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang sedang diraikan dijadikan sebagai langkah permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan yang baik.

Jika kita mampu memelihara serta memperbanyakkan ruang meraih pahala di bulan suci itu, begitulah juga di luar tempohnya. Apa salahnya jika diteruskan sahaja amalan membaca al-Quran, bersedekah, mengerjakan solat sunat atau solat secara berjemaah di masjid atau surau yang diamalkan ketika Ramadan.

Jangan jadikan amal kebajikan tertentu yang dilakukan hanya bermusim, seharusnya ia menjadi titik tolak untuk ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda.

Selain itu, kemeriahan sambutan lebaran juga perlu diisi dengan cara Islam yang diredai ALLAH SWT dan bukannya terikut-ikut dengan perbuatan yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti.

Itulah nilai keberkatan di sebalik Aidilfitri yang diraikan agar amal ibadah dan kebajikan yang kita lakukan sepanjang Ramadan tidak sia-sia.

Di samping itu juga, ambil kesempatan dengan keberkatan Syawal ini untuk mengeratkan silaturahim sesama manusia. Fitrah kehidupan manusia yang diciptakan ALLAH SWT adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain kerana itulah hikmah kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi.

Islam itu indah apabila dijaga hubungan dengan ALLAH (hablun minallah) dan hubungan sesama manusia (hablun minannas) dengan sempurna.

Kebahagiaan hidup sebenar adalah apabila hadirnya ketenangan saat kita melakukan amal ibadat dan ketika berurusan dengan manusia.

Semoga Aidilfitri ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum muhasabah serta menggarap ibrah daripada Ramadan yang telah dilalui.

Sebelum terlambat, cubalah penuhi tuntutan berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal, sepertinya dia berpuasa selama setahun.”