Pemahaman mengenai demokrasi

A
A
A

Belum pun sempat panas perbahasan tentang kenapa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri tidak dibahaskan dalam Sidang Parlimen minggu depan, datang pula modal baharu untuk dibawangkan. Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula bakal hilang kuasa di Kedah untuk kali kedua, alahai!

Disebabkan musim Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka normal baharu mengambil tempat. Oleh sebab itu kuliah penulis dilakukan secara dalam talian.

Tetapi bagusnya, kelas secara maya itu menjadikan kuliah lebih efektif. Diperhatikan mereka lebih aktif dan interaktif berbanding dalam dewan kuliah. Menariknya, ramai yang mula rajin bertanyakan soalan. Antara banyak-banyak soalan, yang paling menarik ialah berkenaan dengan demokrasi di Malaysia pasca-Pakatan Harapan (PH). Maka penulis pun membiarkan mereka memberikan pandangan dan pendapat masing-masing berdasarkan pemahaman mereka tentang demokrasi dan pendemokrasian.

Menariknya ada pelajar yang berpendapat bahawa Malaysia ketika ini sudah menjadi negara yang mati semangat demokrasinya. Sebagai balasan, penulis memberikan hujahan beberapa sarjana yang pernah memperkatakan perkara yang sama dalam situasi kontemporari sebagai percambahan wacana dan perbincangan.

Pandangan Profesor Politik daripada Universiti Harvard, Steve Levitsky (2018) diutarakan untuk tujuan tersebut. Menurut beliau, walaupun demokrasi muncul apabila kediktatoran runtuh, ia masih tetap mati. Lebih mendukacitakan, demokrasi itu selalunya mati di tangan kerajaan yang dipilih sendiri secara demokratik oleh rakyat. Dan kematian itu bermula dengan instrumen pilihan raya itu sendiri.

Mengapa jadi begitu? Ia disebabkan politikus yang dipilih selalunya menjadikan pilihan raya ibarat alat solek, hanya cantik di permukaan tapi hancur hodoh di dasarnya. Inilah apa yang dikatakan Andreas Schedler (2010) sebagai fenomena rejim autoritarian pilihan raya (electoral authoritarian). Kerajaan mengadakan pilihan raya secara berkala, namun sentiasa juga melanggar asas-asas demokrasi dengan cara yang serius dan sistematik.

Hal itu memperlihatkan Malaysia masih lagi mengekalkan sistem demokrasi hibrid bersifat electoral autoritarian sepertimana yang dihujahkan Schedler. Ketika ini yang hanya berubah hanyalah pemerintahan bersifat elit-dominan kepada pemerintahan oligarki. Padahal amalan dan sistem demokrasinya tetap serupa. Akhirnya pendemokrasian di Malaysia tidak ke mana walaupun berlaku pertukaran rejim pada 2018.

Dalam masa yang sama, walaupun institusi-institusi demokrasi; kerajaan berperlembagaan, hak asasi dan kebebasan individu, kedaulatan undang-undang (rule of law), mekanisme semak dan imbang, pengasingan kuasa, pilihan raya popular, masyarakat sivil dan kebebasan media, Malaysia masih gagal menjadi sebuah negara yang benar-benar demokratik sepertimana yang diinginkan.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir kuliah ada pelajar yang bertanya lagi, bila agaknya Malaysia akan benar-benar menjadi negara yang demokratik? Terkedu juga hendak menjawabnya. Malah kalau ikut rumus Profesor Sains Politik Universiti Yale, Robert Dahl (1971) bahawa demokrasi akan bertambah baik dan meningkat kalau tahap pendidikan dan sosioekonomi negara itu berkembang nampaknya tidak boleh dipakai dalam konteks Malaysia.

Namun begitu, penulis telah mengemukakan teori Adam Przeworski dan Fernando Limongi (1996) sebagai penutup perbincangan. Menurut mereka, mana-mana negara yang telah menukar kerajaan melalui pilihan raya yang bebas dan adil sekurang-kurangnya dua kali dan mempunyai pendapatan per kapita tahunan mencecah AS$14,500 (bersamaan RM63,000), maka demokrasinya pasti akan bertahan (baca: meningkat baik).

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)