Hanya pegawai, kakitangan masjid, jemaah tertentu dibenarkan solat Jumaat

Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, solat Jumaat dan solat berjemaah dalam zon hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan yang dibenarkan semula hari ini hanya melibatkan pengerusi, ahli jawatankuasa, pegawai dan petugas masjid, surau Jumaat dan surau terpilih.

Sementara jemaah yang dibenarkan hadir untuk menyertai solat Jumaat dan solat berjemaah akan ditentukan oleh pihak pentadbiran ketiga-tiga tempat ibadat itu seperti yang dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Jemaah pula akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid atau surau serta yang mendapat jemputan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, senarai masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau juga akan dimaklumkan Jawi manakala garis panduan lengkap pelaksanaannya boleh didapati di Facebook Jawi.

Pada masa sama, Zulkifli turut menzahirkan rasa gembira apabila melihat masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau dalam Wilayah Persekutuan telah bersedia menerima jemaah bagi solat Jumaat pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya berkata, bagi masjid di bawah Jakim, hanya Masjid Negara yang berada dalam zon hijau dan akan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri mulai hari ini.

Beliau berkata, dua lagi masjid yang berada di bawah pentadbiran Jakim iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih lagi berada dalam zon kuning.

“Pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid,” katanya dalam satu kenyataan

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal. Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Katanya pelaksanaan solat berjemaah di masjid akan mematuhi semua syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan.- Bernama