LHDN nafi lewat bayar BPN

Kenyataan media dikeluarkan LHDN yang dikeluarkan hari ii sebagai maklum balas terhadap satu artikel yang disiarkan The Star.
Kenyataan media dikeluarkan LHDN yang dikeluarkan hari ii sebagai maklum balas terhadap satu artikel yang disiarkan The Star.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan timbul isu kelewatan bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi pemohon yang diluluskan dan telah memberi nombor akaun bank yang tepat.

LHDN dalam kenyataannya hari ini berkata, semua pembayaran BPN dibuat berdasarkan 'timeline' atau garis masa yang telah ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF).

Menurutnya, perkara itu turut dinyatakan melalui soalan lazim (FAQ) BPN yang dikemaskini dari masa ke masa sebagai rujukan awal kepada setiap pemohon.

Katanya, mengikut rekod, bagi fasa pertama, sebanyak 8.3 juta penerima diluluskan menerima bantuan itu dan pembayarannya dibuat secara berperingkat mulai 6 April lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM9.3 bilion.

"Bagi permohonan baharu dan rayuan yang dibuka sehingga 30 April lalu pula sejumlah 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.

"Pembayaran bagi penerima ini akan diproses secara berperingkat mulai esok (15 Mei)," katanya sebagai maklum balas terhadap artikel yang membangkitkan tentang kelewatan pembayaran BPN dengan syarat tidak munasabah yang disiarkan akhbar The Star hari ini.

Artikel bertajuk 'Use better channels to disburse the aid' di ruangan 'Your Opinion' itu turut memberi cadangan agar bayaran dikreditkan dengan kadar segera.

Artikel itu turut membangkitkan mengenai penutupan talian Hasil Care Line dan penutupan cawangan LHDN serta kekangan warga emas untuk hadir ke cawangan LHDN dan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, LHDN berkata, MOF telah menggariskan syarat-syarat kelayakan bagi penerima BPN pada 29 Mac lalu.

Tambahnya, bagi membantu pemohon memahami prosedur permohonan dan syarat-syarat kelayakan FAQ boleh dimuatnaik dan sentiasa dikemaskini pada portal rasmi BPN di https://bpn.hasil.gov.my/.

"Bagi membantu maklumat ini sampai kepada setiap pemohon, LHDN telah mengambil inisiatif dengan menyebar luaskan melalui akhbar tempatan, berita dalam talian, laman sosial dan platform media sosial rasmi LHDN," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai dakwaan penutupan talian telefon Hasil Care Line (HCL) dan cawangannya, LHDN berkata, berkemungkinan penulis membuat panggilan dalam tempoh premis LHDN tidak beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, berdasarkan arahan PKP, semua cawangan LHDN termasuk Pusat Khidmat Hasil (PKH) telah ditutup bermula 19 hingga 31 Mac bagi mengekang Covid-19.

Menurutnya, berikutan keputusan kerajaan menetapkan perkhidmatan LHDN sebagai perkhidmatan penting (essential services), perkhidmatan telefon di semua cawangan LHDN telah dibuka semula pada 29 April lalu.

"Kemungkinan juga pemanggil tidak berjaya menembusi talian HCL. Misalnya pada 30 Mac lalu sahaja HCL dan Hasil Recovery Call Centre (HRCC) perlu melayani hampir 10,000 panggilan, e-mel dan chatting melalui Hasil Live Chat.

"Sehingga 30 April lalu pula, hampir 230,000 panggilan, e-mel dan chatting telah dijawab. Sehubungan itu, LHDN memohon maaf atas kesukaran yang dialami," katanya.

Dalam pada itu, tentang isu kesukaran warga emas untuk hadir ke premisnya, LHDN memaklumkan bahawa semua urusan permohonan dan rayuan BPN boleh dibuat tanpa perlu hadir ke kaunter perkhidmatan LHDN.

Jelasnya, permohonan BPN adalah secara dalam talian manakala rayuan pula boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen secara e-mel ke alamat rayuanbpn@hasil.gov.my.

"Kaunter perkhidmatan LHDN disediakan sebagai alternatif bagi pemohon yang memilih untuk hadir ke premis kami," katanya.