Hanya pengerusi layak panggil mesyuarat MPT Bersatu, kata Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama barisan exco hadir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darulaman, Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama barisan exco hadir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darulaman, Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Hanya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad boleh memanggil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perbuatan mengetepikan beberapa anggotanya untuk tidak hadir mesyuarat MPT yang dipengerusikan pihak lain adalah tindakan tidak mengikut perlembagaan parti dan kedudukan Mahathir selaku pengerusi masih diiktiraf oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti.

"Saya ingat ini tak betul. Mesyuarat MPT hanya boleh dipanggil oleh pengerusi parti dan diiktiraf semua pihak, termasuk Muhyiddin sendiri bahawa Mahathir adalah Pengerusi Bersatu seperti dalam kenyataan sebelum ini, termasuk surat menyurat antara kedua-duanya.

"Kalau pengerusi tak panggil mesyuarat MPT macam mana orang lain boleh panggil. Kemudian tak jemput (pengerusi) pula, dalam mana-mana mesyuarat, kena panggil semua," katanya, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau mengulas tindakan memanggil mesyuarat MPT pada 11 Mei lalu tanpa kehadiran Dr Mahathir, sebelum mesyuarat ditunda ke tarikh lain.

Pada 11 Mei lalu, Bersatu dilaporkan mahu mengadakan mesyuarat MPT tanpa kehadiran Dr Mahathir dan Mukhriz sebelum ditunda ke tarikh lain.

Notis penangguhan dikeluarkan Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya kepada pimpinan tinggi parti.

Mukhriz turut menegaskan, MPT tidak boleh memecat sesiapa pun.

Artikel Berkaitan:

"Tak tahulah, mungkin bila Menteri Dalam Negeri sendiri nak diangkat sebagai Setiausaha Agung parti, perlembagaan sudah tak penting. Boleh langgar Perlembagaan, sesuka hati," katanya.

Beliau mengulas desas-desus kemungkinan dirinya dan Dr Mahathir akan dipecat keahlian parti susulan tidak senada dengan Muhyiddin.

Mukhriz turut berharap Bersatu memberi peluang kepadanya mempertahankan diri atas setiap pertuduhan atau dakwaan, sekiranya ada.

"Kalau ada kesalahan, aduan mesti dibuat kepada lembaga disiplin parti. Kemudian siasatan dilakukan, mungkin disusuli surat tunjuk sebab dan diberi peluang mempertahankan diri serta rayuan selepas hukuman dijatuhkan," katanya.

Menurut beliau, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang surat mahupun aduan salahlaku daripada partinya.

"Setakat ini tidak ada surat atau aduan, kami pun tunggu juga sebab tak sabar nak jawab. Soalan yang saya sendiri kemukakan pun sampai sekarang tak berjawab," katanya.