Agihan kerusi PRN, mesyuarat MPT PN tak cukup korum?

Beberapa petugas media menunggu seawal jam 4 petang di pekarangan blok ibu pejabat PN, namun tiada kelibat pemimpin PN yang kelihatan kerana dimaklumkan mesyuarat telah selesai jam 1 petang.
Beberapa petugas media menunggu seawal jam 4 petang di pekarangan blok ibu pejabat PN, namun tiada kelibat pemimpin PN yang kelihatan kerana dimaklumkan mesyuarat telah selesai jam 1 petang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak sampai separuh daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Perikatan Nasional (PN) yang terlibat dalam mesyuarat bagi memuktamadkan agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang didakwa berlangsung pada Isnin.

Menurut sumber ibu pejabat PN, mesyuarat berkenaan telah berlangsung pada jam 10 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.

Ia berbeza dengan maklumat yang diterima pihak media bahawa mesyuarat berkenaan bermula jam 5 petang.

"Mesyuarat tentang agihan kerusi ada pagi tadi (Isnin). Tapi tak semua MPT hadir.

"Apa yang saya boleh cakap, tak sampai separuh pun MPT yang hadir," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya adakah mesyuarat berkenaan berjaya memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan agihan kerusi PRN, sumber berkenaan bagaimanapun enggan memberi makluman lanjut.

"Saya tak boleh cakap apa-apa tentang mesyuarat," katanya.

Sebelum itu, beberapa petugas media menunggu seawal jam 4 petang di pekarangan blok ibu pejabat PN, namun tiada sebarang kelibat pemimpin PN yang kelihatan.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata, pembahagian kerusi dalam kalangan gabungan PN akan dimuktamadkan pada Isnin bagi menghadapi enam PRN.

Menurut beliau, perbincangan mengenai pembahagian kerusi itu dijangka selesai kira-kira jam 5 petang.

"Pembahagian (kerusi) PN esok 'final' di (Ibu Pejabat PN) di Publika, Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjong Karang, Selangor.