MPT Bersatu belum dimaklum kerjasama Muhyiddin, Dr Mahathir

Keterbukaan Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk bekerjasama semula disifatkan mampu memberi kekuatan kepada PN.
Keterbukaan Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk bekerjasama semula disifatkan mampu memberi kekuatan kepada PN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keterbukaan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama semula disifatkan sebagai langkah baik yang mampu memberi kekuatan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, ketika ini Bersatu sendiri sudah memetrai kerjasama melalui Proklamasi Orang Melayu digerakkan oleh Dr Mahathir.

Bagaimanapun menurutnya, sebarang bentuk kerjasama selain daripada Proklamasi Orang Melayu belum dibincangkan bersama kepimpinan tertinggi yang lain.

"Kepimpinan tertinggi belum dimaklumkan mengenai kerjasama Tun (Mahathir) dan Tan Sri (Muhyiddin Yassin). Cerita ini baru lagi dan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) belum ada mesyuarat.

"Di Facebook, Tan Sri nyatakan sedia kerjasama dengan Tun, jadi kita sambut baik Tun mahu kerjasama.

"Itu salah satu langkah yang baik (untuk PRN) apabila Tun menyatakan secara terbuka menyokong PN.

"Saya juga ingin nyatakan, kalau Tun sudi sama-sama ceramah dalam pentas PN ketika PRN bersama calon-calon nanti, kita sangat alu-alukan," katanya ditemui media di Ibu Pejabat PN di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perkembangan mengenai hasrat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menemui Muhyiddin berkenaan tawaran sebagai MPT Bersatu.

Jelas beliau, MPT mengambil sikap terbuka berhubung pelawaan Muhyiddin terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

"Tawaran kepada KJ (Khairy) bukan perkara baharu. Dalam kalangan MPT kita terbuka, tak nampak ada yang membangkang. Kebanyakannya setuju sebulat suara," katanya.