Individu pertama langgar SOP PKPB ditahan

Task Force yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 70,237 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPB di seluruh negara.
Task Force yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 70,237 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPB di seluruh negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan Task Force Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menahan individu pertama di Selangor kerana melanggar peraturan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selaras dengan tindakan undang-undang yang diambil oleh polis terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP.

“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi SOP yang telah disediakan.

“Justeru sekali lagi diingatkan kepada semua pihak supaya mematuhi SIP dan peraturan. Kerjasama dan disiplin daripada anda semua amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) di sini hari ini.

Beliau berkata, Task Force yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 70,237 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPB di seluruh negara.

“Kadar pematuhan PKPB seluruh negara ialah 95 peratus. Pahang, Melaka dan Pulau Pinang mencatatkan kadar pematuhan tertinggi iaitu 98 peratus manakala kadar pematuhan paling rendah pula sebanyak 86 peratus.

“Sebanyak 5,022 pasar raya, 4,092 restoran, 1,255 kilang dan 3,482 bank telah diperiksa. Pemeriksaan juga dibuat di 954 terminal pengangkutan darat, 172 terminal pengangkutan air dan 72 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Katanya, pasukan tersebut juga telah memeriksa sebanyak 34,840 buah kenderaan persendirian dan 3,175 kenderaan awam.

Artikel Berkaitan:

“Turut diperiksa ialah 2,062 pasar awam; 3,606 tempat ibadah; 1,397 tempat riadah dan 359 tapak pembinaan. Seramai 3,122 pasukan pematuhan telah membuat pemantauan yang melibatkan seramai 16,518 anggota,” katanya.