Tiada lagi mukim zon merah di Selangor

STFC menerusi info grafik dikongsikan di akaun Facebook rasminya memaklumkan tiada lagi mukim yang berstatus zon merah di Selangor dan hanya satu daerah yang mencatat kes aktif Covid-19 melebihi 40 kes .
STFC menerusi info grafik dikongsikan di akaun Facebook rasminya memaklumkan tiada lagi mukim yang berstatus zon merah di Selangor dan hanya satu daerah yang mencatat kes aktif Covid-19 melebihi 40 kes .
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada lagi mukim yang berstatus zon merah di Selangor dan hanya satu daerah yang mencatat kes aktif koronavirus (Covid-19) melebihi 40 kes.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dikongsikan di akaun Facebook rasminya memaklumkan, mukim Batu yang sebelum ini direkod sebagai zon merah menjadi bertambah baik dan kini berada di zon kuning.

Perkembangan itu mempengaruhi daerah Gombak yang sebelum ini ditakrif sebagai zon merah dan kini berubah menjadi zon kuning.

“Tiada langsung mukim zon merah hari ini (setakat jam 12 tengah hari semalam). Hal ini menjadikan Selangor sekali lagi mencatatkan satu saja daerah berstatus zon merah.

“Mukim Hujung Permatang di Kuala Selangor juga telah bersih daripada kes aktif yang menjadikannya berstatus zon hijau. Tahniah buat semua warga Selangor,” menurut kenyataan itu.

STFC dalam pada itu mengingatkan, ancaman wabak Covid-19 masih wujud kerana pembawa virus tidak bersimptom (asymptomatic) boleh berada di sekeliling masyarakat.

Disebabkan itu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) masih berlanjutan sehinggalah dimaklumkan sebaliknya.

“Warga Selangor masih tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan. Jangan leka untuk menjaga penjarakan sosial dan kebersihan, pakai topeng muka dan gunakan aplikasi SELangkah apabila memasuki premis,” menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

KKM melaporkan penamatan empat kluster yang menjadi punca transmisi wabak Covid-19 di Selangor.
KKM melaporkan penamatan empat kluster yang menjadi punca transmisi wabak Covid-19 di Selangor.

Selangor mencatat tiga kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini sebanyak1,610 kes.

Seramai 1,396 pesakit telah sembuh manakala 152 kes masih lagi aktif.

Selangor yang merekod kes positif Covid-19 tertinggi dalam negara mencatat 21 kematian sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Terdahulu, STFC memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan empat kluster yang menjadi punca transmisi wabak di Selangor telah pun tamat.

Ia termasuk Kluster Seksyen 6 Bangi di daerah Hulu Langat, Kluster Warga Emas di daerah Klang serta Petaling, Kluster Bandar Baru Bangi (majlis perkahwinan) di variasi daerah serta Kluster Selayang (Pasar Harian) di daerah Gombak.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 31 kes direkodkan dari rantaian Kluster Seksyen 6 Bangi yang menyebabkan satu kematian manakala Kluster Warga Emas pula mencatatkan 36 jangkitan berantai yang menyebabkan lima kes kematian.

“Untuk Kluster Bandar Baru Bangi (majlis perkahwinan), sebanyak 96 kes jangkitan berantai direkodkan dan Kluster Selayang (Pasar Harian) pula mencatatkan enam kes jangkitan berantai. Kedua-dua kluster terakhir ini tidak merekodkan sebarang kematian.

“Dengan pengumuman penamatan kluster ini, maka dijangka tidak akan berlaku lagi rantaian jangkitan yang disebabkan oleh keempat-empat kumpulan ini. Semoga dengan penamatan kluster ini, ia memberi kita harapan bahawa dengan disiplin serta amalan yang baik, kita mampu mencegahnya dari menjadi lebih teruk,” menurut kenyataan itu.