X

Kindly register in order to view this article
!

AFC tiada kuasa campur tangan

Cassio (kanan) menggalas cabaran Kelantan dalam saingan liga domestik pada musim 2018 dan 2019. Gambar kecil: WINDSOR PAUL
A
A

“Kalau nak main bola sepak, memang harus bayar dulu tunggakan gaji itu.”

Demikian tegas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berhubung tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melunaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya dari Brazil, Cassio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu.

Windsor berkata, FIFA boleh mengenakan apa sahaja hukuman seperti menggantung badan induk bola sepak Kelantan itu atau sebarang tindakan lain yang dilihat perlu jika KAFA masih gagal melunaskan hutang berkenaan.

“Jawatankuasa FIFA dah buat keputusan dan tentukan memang KAFA bersalah dalam hal ini dan perlu membayar tunggakan gaji berkenaan. Jadi KAFA perlu berusaha sebaik mungkin untuk melunaskan bayaran tunggakan gaji itu bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas.

“Keputusan FIFA itu dibuat setelah mendengar penerangan daripada kedua-dua belah pihak yang mendapati memang benar apa yang dikatakan oleh bekas pemain import itu (Cassio) dan ia menyebabkan KAFA perlu melunaskan tunggakan gaji berkenaan.

“Dalam hal ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh dipersalahkan kerana ia melibatkan kontrak antara pemain dan pasukan. Kontrak itu pula ditandatangani selepas persetujuan antara pasukan dan pemain dicapai,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Windsor, apa sahaja kes seperti yang berlaku antara pihak pengurusan KAFA dan Cassio itu sememangnya akan terus dirujuk kepada FIFA tanpa perlu melalui Jawatankuasa AFC.

“Di sini kita kena faham, kes yang melibatkan status pemain akan berada di bawah kawalan FIFA sepenuhnya, bukan di bawah kawalan konfederasi (AFC). Kita (AFC) tak ada kuasa, begitu juga dengan pergerakan pemain daripada satu kelab ke kelab lain (di Asia) juga masih lagi di bawah FIFA.

“Apa pun, kita berharap selepas ini kena jaga-jaga sikitlah kerana sebolehnya kita tak mahu ada banyak kes di FIFA kerana ia secara tidak langsung akan memberikan gambaran tidak baik kepada industri bola sepak Malaysia,” jelasnya.

Mengulas mengenai tindakan KAFA melancarkan kutipan derma daripada orang ramai terutamanya peminat dan penyokong The Red Warriors, Windsor berkata: “KAFA boleh buat apa sahaja tindakan dalam usaha untuk melunaskan bayaran tunggakan gaji berkenaan.”

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid memaklumkan, pihaknya berjaya mengumpul wang derma berjumlah RM4,197.29 setakat jam 11.30 pagi semalam.

Muzakkir berkata, hampir 2,000 individu menghulurkan sumbangan kepada usaha itu yang bermula Sabtu lalu membabitkan derma serendah RM1 sehinggalah RM10.

“KAFA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma. Beribu orang menderma kepada KAFA dalam tempoh masa kurang 48 jam. Ini membuktikan perkembangan positif peminat dari akar umbi yang sayangkan pasukan Kelantan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus