Ronaldo, Portugal perlu berdamai

Cristiano Ronaldo
Cristiano Ronaldo
A
A
A

PENGENDALI berpengalaman, Pep Guardiola menggesa Cristiano Ronaldo dan Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF) mengetepikan perselisihan bagi memastikan legenda bola sepak negara itu menerima penghormatan sewajarnya sebelum menamatkan karier antarabangsa.

Guardiola percaya pemain yang telah memberikan sumbangan besar kepada Portugal itu tidak sepatutnya meninggalkan skuad kebangsaan dalam suasana tegang atau dibayangi perselisihan faham.

Bekas pengendali Manchester City itu berkata, pencapaian luar biasa Ronaldo sepanjang lebih dua dekad bersama skuad kebangsaan wajar diraikan dengan penuh penghormatan, bukannya berakhir dengan kontroversi.

"Persatuan Bola Sepak Portugal perlu memastikan pengakhiran karier Cristiano Ronaldo berlangsung dengan penuh bermaruah.

"Ronaldo tidak sepatutnya meninggalkan skuad kebangsaan dengan cara seperti ini. Mereka tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku," katanya.

Menurut Guardiola, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk memperbaiki hubungan dan memastikan perpisahan itu berlangsung dalam suasana harmoni.

Beliau turut menyarankan supaya satu majlis penghormatan diadakan bagi membolehkan Ronaldo merasai penghargaan penyokong negaranya selain pemain berusia 41 tahun itu sendiri mengambil inisiatif melupakan perselisihan lalu.

"Perlu ada usaha daripada kedua-dua pihak untuk memastikan perpisahan yang sewajarnya. Ronaldo berhak menamatkan karier antarabangsa mengikut caranya sendiri.

"Perlu ada satu sambutan yang membolehkannya merasai kasih sayang rakyat negaranya. Pada masa sama, dia juga perlu mengambil langkah untuk melupakan perkara lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Guardiola turut menegaskan bahawa perjalanan karier seseorang pemain tidak seharusnya dinilai berdasarkan perselisihan yang berlaku dalam tempoh singkat apatah lagi selepas segala sumbangan dan pencapaian yang telah dilakar.

Jelasnya, pemain berstatus legenda seperti Ronaldo wajar diberikan penghormatan sehingga ke penghujung karier kerana sumbangan mereka bukan sahaja memberi makna kepada pasukan, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda.

"Dia seorang figura yang sangat penting bukan sahaja kepada dirinya dan Portugal tetapi juga kepada generasi pemain akan datang.

"Kanak-kanak yang baru mula bermain bola sepak perlu melihat bagaimana pemain hebat seperti Romario, Ronaldo, Lionel Messi dan Paolo Maldini menamatkan karier mereka dengan penuh penghormatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!