X

Kindly register in order to view this article
!

Pemilihan surah ar-Rahman bertepatan suasana semasa

Marhaini
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan surah ar-Rahman dalam World #QuranHour yang akan berlangsung pada Rabu ini dilihat sangat bertepatan berdasarkan situasi semasa yang berlaku ketika negara masih lagi berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusof berkata, melalui surah berkenaan, ia turut mengajak masyarakat supaya mensyukuri nikmat diberikan ALLAH walaupun masih berada dalam tempoh kawalan.

“Kesan daripada pandemik Covid-19, kita lihat ramai orang dalam ketakutan, takut pada wabak dan sebagainya, namun dalam surah ar-Rahman ini, apa yang ingin kita bawa adalah empat nikmat yang paling utama sebagaimana dinyatakan dalam surah itu.

“Pertama nikmat al-Quran itu sendiri. Kedua, nikmat apabila ALLAH menciptakan insan dengan nikmat sosial yang kita ada. Ketiga, nikmat albayan iaitu nikmat komunikasi dan keempat adalah matahari dan bulan seperti dinyatakan dalam surah ar-Rahman.

“Walaupun kita menghadapi kesulitan tahun ini, kita berharap ‘output’ daripada World #QuranHour dapat melahirkan jiwa yang sentiasa bersyukur kerana perlu ada rasa syukur atas nikmat yang ALLAH berikan walaupun nikmat yang sekecil-kecilnya,” katanya.

Marhaini berkata demikian ketika ditemu bual pengacara juga penyanyi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani dalam program #ZayanSalamBros secara Live di Facebook stesen radio itu dalam segmen yang bermula dari jam 6 hingga 10 pagi hari ini.

Sementara itu, walaupun tahun ini peserta-peserta tidak lagi dapat berkumpul di masjid dan tiada lagi qari menjadi pembawa panji-panji Ar-Rahman, namun MUIF akan tetap membawa Misi MengQURANkan Bangsa dan mengIKHLASkan Ummah melalui teknologi.

Empat stesen televisyen akan bersama iaitu stesen TV AlHijrah, RTM, Bernama TV dan Astro Oasis dan platform digital Sinar Harian, TVAlhijrah, QuranHour dan Ideaktiv akan membawakan World #QuranHour terus ke rumah atau pejabat anda.

Orang ramai boleh duduk saja di rumah atau di pejabat, buka al-Quran terjemahan dan baca bersama qari dan mendengar tadabbur di studio.

Selain jalinan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia kali ini, #QuranHour juga ada pesanan daripada Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ayuh kita beramai-ramai serentak mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ke seluruh dunia dari rumah masing-masing bersama keluarga pada Rabu ini bermula jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus