PATI disekat, beberapa lorong tikus dikenal pasti

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sudah mengenal pasti beberapa lorong tikus yang menjadi laluan pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk ke negara terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua lorong berkenaan dikesan selepas kerajaan mewujudkan pasukan khas diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan turut dianggotai pelbagai agensi beruniform lain bagi mengawal secara bersepadu di pintu masuk negara.

Menurutnya, kawalan bersepadu itu turut memastikan aset-aset dikawal secara lebih tersusun bagi menyekat kemasukan warga asing melalui laluan terbabit.

"Kita dapati pendatang asing tanpa izin (PATI) ini ceroboh melalui pintu masuk tidak rasmi iaitu di kawasan Pantai Barat Semenanjung termasuk di Pantai Timur Sabah seperti Lahad Datu, Semporna dan sebagainya.

"Begitu juga di Sarawak, kebanyakan mereka masuk melalui jalan darat di negeri itu.

"Malah, banyak tangkapan juga sudah dibuat termasuk ke atas tekong-tekong mereka selepas kawalan bersepadu ini dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, polisi kerajaan juga jelas untuk menutup pintu negara kepada warga asing sejak dari awal dan hanya membenarkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara masuk ke Malaysia

"Oleh kerana kita dah tutup pintu negara kepada warga asing, jika mereka kata ada keluarga tinggal di sini, itu bukan alasan untuk mereka masuk ke negara. Tetap tidak dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan: