Pergerakan rentas negeri ditamatkan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pergerakan rentas negeri bagi mereka yang terkandas di kampung ditamatkan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan sebanyak 401,253 permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia dan borang manual.

“Semalam, sebanyak 109,309 kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 1,388 kebenaran melalui borang manual polis dikeluarkan oleh PDRM bagi mereka yang terkandas di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu untuk pulang ke kediaman mereka di negeri-negeri lain.

“PDRM juga mengadakan 128 Sekatan Jalan Raya untuk memantau pergerakan rentas negeri,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, laporan PDRM turut menunjukkan pergerakan rentas negeri dan aliran lalu lintas lancar dan tiada kesesakan luar biasa.

Katanya, situasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) juga terkawal dan kadar pematuhan orang ramai kepada arahan PDRM semasa perjalanan rentas negeri amat memuaskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan itu turut memaklumkan sehingga jam 8 pagi tadi sebanyak 228 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 229 hari sebelumnya dengan 4,268 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 461 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib menjadikan jumlah keseluruhan 31,591 orang sejak 3 April lalu.

“Sehingga kini, seramai 23,597 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.
Artikel Berkaitan: