Sabak Bernam kembali menjadi zon kuning

Maklumat info grafik berhubung kes aktif Covid-19 di Selangor yang dimuat naik STFC dalam akaun Facebook rasminya
Maklumat info grafik berhubung kes aktif Covid-19 di Selangor yang dimuat naik STFC dalam akaun Facebook rasminya
A
A
A

SHAH ALAM - Pertambahan satu kes aktif Covid-19 di mukim Pasir Panjang menyebabkan daerah Sabak Bernam yang ditakrif sebagai zon hijau kelmarin kini kembali menjadi zon kuning.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik yang dimuat naik di Facebook mereka memaklumkan, tiga mukim di Selangor yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai zon hijau juga kembali menjadi zon kuning.

Menurut kenyataan dikeluarkan, tiga mukim itu termasuk Pasir Panjang di daerah Sabak Bernam; Rasa, Hulu Selangor dan Hulu Kelang di daerah Gombak.

“Pertambahan kes baharu hari ini (semalam) mengubah demografi data kes aktif bagi Selangor.

“Perubahan semula mukim Pasir Panjang yang baru saja berstatus zon hijau semalam (kelmarin) kepada zon kuning menjadikan daerah Sabak Bernam kembali ke zon kuning,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, dua daerah iaitu Sabak Bernam dan Sepang paling hampir berstatus zon hijau.

“Bagaimanapun hanya tinggal satu kes aktif sahaja di daerah Sabak Bernam dan Sepang iaitu di mukim Pasir Panjang dan mukim Labu. Setakat ini, dua daerah ini paling hampir berstatus zon hijau.

“Teruskan patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD). Awas dengan individu ‘asymptomatic’ iaitu individu positif Covid-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom. Mereka boleh berada berhampiran dengan anda namun tidak disedari,” kata kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, setakat jam 12 tengah hari semalam, lapan kes baharu direkod menjadikan jumlah keseluruhan kes berkenaan di Selangor kini 1,604 kes.

Seramai 1,340 pesakit dilaporkan sembuh manakala 202 kes lagi masih aktif.

Tiada kematian baharu direkodkan sejak 6 Mei lalu dan jumlahnya kekal 20 di seluruh Selangor.

Sementara itu di Kuala Lumpur, empat zon masih dikategorikan sebagai zon merah termasuk zon ibu kota (144 kes), Batu (101 kes), Kampung Baru (67 kes) dan Sri Petaling (45 kes).

Sebanyak 18 zon ditakrif sebagai zon kuning manakala tujuh lagi dikategorikan sebagai zon hijau.

Sehingga semalam, sebanyak 1,404 kes positif Covid-19 dilaporkan di Kuala Lumpur.

Di Putrajaya pula, 87 kes terkumpul direkod sehingga semalam, 18 kawasan ditakrif sebagai zon hijau dan hanya dua kawasan iaitu Presint 1 dan Presint 3 dikategori sebagai zon kuning.