Pindah banduan ke zon hijau elak sesak di penjara

Ajidin ketika ditemui pemberita selepas Hari Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney Jabatan Penjara Malaysia di Telok Mas pada Isnin.
Ajidin ketika ditemui pemberita selepas Hari Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney Jabatan Penjara Malaysia di Telok Mas pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Penjara dalam usaha mengurangkan kesesakan banduan dengan memindahkan mereka di penjara-penjara yang dikategorikan sebagai zon merah dan zon kuning ke zon hijau.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, contohnya sekiranya berlaku penambahan kapasiti 1,000 banduan kepada 1,200 orang, ia masih mampu menampung jumlah itu di zon merah mahupun kuning.

Namun menurutnya, jika pertambahan banduan melebih 20 peratus, maka tindakan pemindahan banduan ke zon hijau bakal dilaksanakan bagi mengatasi kesesakan penghuni di penjara.

Beliau berkata, menerusi program ini ia dapat mengurangkan kesesakan banduan selain memperluaskan program-program parol dan pelepasan pembebasan banduan secara lesen dengan sasaran 1,000 banduan setahun.

"Kementerian juga telah meluluskan pesalah-pesalah yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun ke bawah boleh dilepaskan secara lesen oleh ketua pengarah penjara melalui satu mesyuarat.

"Setakat ini dianggarkan hanya lima peratus kesesakan penjara zon merah berlaku di penjara Pantai Timur seperti Marang, Terengganu dan Pengkalan Chepa, Kelantan selain di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney Jabatan Penjara Malaysia di Telok Mas pada Isnin.

Ajidin (kiri) menyampaikan sijil anugerah dan wang tunai kepada salah seorang pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney di Telok Mas pada Isnin.
Ajidin (kiri) menyampaikan sijil anugerah dan wang tunai kepada salah seorang pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney di Telok Mas pada Isnin.

Jelas beliau, pihaknya turut mensasarkan lebih ramai banduan iaitu dua pertiga golongan itu bersama masyarakat lebih awal berbanding pemulihan yang diikuti dalam penjara menjelang tahun 2030.

Dalam perkembangan lain, Ajidin berkata, pihaknya akan menjalinkan kolaboratif dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi memberi peluang kepada pesalah-pesalah melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang ke peringkat lebih tinggi.

Ujarnya, peluang itu bukan sahaja ditawarkan kepada pesalah juvana sahaja, namun ia turut diberikan kepada pesalah dewasa melalui kerjasama itu.

"Ini termasuk usahasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Open University Malaysia (OUM) dan Asia College of Exercise Medicine (ACEM).

"Contoh di UPSI ada yang melanjutkan pengajian dalam Diploma Keusahawanan, ada dalam kalangan mereka sedang menyambung pengajian di pelbagai peringkat dari program diploma hingga ijazah kedoktoran di ACEM dan OUM," jelasnya.