Boleh sambut Aidilfitri, tapi kena ikut SOP perayaan Covid-19

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MERAK JALANAN tahu ramai yang bersedih pada tahun ini kerana tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung bersama keluarga dan sanak saudara. Bertambah sayu dan pilu apabila mendengar lagu raya yang berkumandang di radio. Mengalir air mata terkenangkan ibu dan bapa, ketupat dan rendang.

Malah, mungkin ramai yang fobia dengan lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudiman Hj Arshad. Keadaannya seolah-olah tiada hari raya pada tahun ini. Bersabarlah. Kita perlu patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam tempoh terdekat ini.

Walaupun PKP dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, tak bermakna kita tak boleh menyambut dan meraikan perayaan Aidilfitri.

Aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat. Wajib ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketika ini, untung siapa yang tinggal berdekatan dengan keluarga. Yang tinggal jauh itu, bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara. Jangan nanti ada alasan tak mahu balik ke kampung pula.

Tahun ini Merak Jalanan seronok sikit. Kalau tahun-tahun sebelum ini Merak Jalanan bagi peluang rakan-rakan yang nak pulang berhari-raya di kampung, nampaknya tahun ini giliran Merak Jalanan pula bercuti. Maklumlah kampung Merak Jalanan dekat saja, tak perlu rentas negeri!

Artikel Berkaitan: