Rayuan BPN dilanjutkan sehingga 31 Mei

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional sehingga 31 Mei ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dipersetujui Kementerian Kewangan setelah mendengar rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran atas pelbagai sebab.

Menurutnya, selain menghantar emel, pemohon yang permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan bermula esok.

“Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa 12 Mei 2020.

“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insya-ALLAH boleh diluluskan,” katanya pada Perutusan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan antara sebab permohonan ditolak termasuklah maklumat yang diisi tidak lengkap, selain rekod pemohon menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan.

“Begitupun mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.

“Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar, jadi permohonan mereka bagi kategori bujang ditolak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion dengan jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 bilion.