Lelaki rugi RM15,259 ditipu pelaburan tidak wujud di FB

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki di daerah ini kerugian RM15,259 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud melalui laman sosial Facebook pada 3 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, kejadian didakwa bermula selepas mangsa berusia 20-an ternampak satu iklan tawaran pelaburan di Facebook yang dijanjikan dengan pulangan lumayan.

Menurutnya, dalam iklan itu, mangsa ditawarkan pelaburan permulaan serendah RM500 sahaja dan bakal memperoleh pulangan berganda sehingga mencecah RM16,000 dalam tempoh terdekat.

"Teruja dengan janji dan jaminan diberikan, mangsa menyatakan persetujuan sebelum berurusan dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.

"Wanita berkenaan mengarahkan mangsa membuat pembayaran pelaburan termasuk bayaran cukai ke dalam akaun bank diberikan secara berperingkat yang berjumlah keseluruhan RM15,259," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, meskipun sudah membuat semua bayaran diarahkan namun sehingga kini mangsa masih belum menerima pulangan pelaburan seperti dijanjikan selain mendapati platform untuk urusan pelaburan yang digunakan tidak lagi berfungsi.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sementara itu, M Zambri menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan individu atau sindiket yang menawarkan sebarang pelaburan terutama bagi yang menjanjikan pulangan lumayan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah awal dengan menyemak latar belakang syarikat pelaburan itu terlebih dahulu bagi memastikan memiliki lesen sah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum menyatakan persetujuan.

"Sekiranya was-was, mereka boleh hubungi Bank Negara Malaysia (BNM) bertanyakan tentang sesuatu pelaburan yang ditawarkan di dalam negara sebenarnya wujud atau tidak.

"Diingatkan agar jangan sesekali menyerahkan wang anda kepada mana-mana individu yang baru dikenali sama ada secara tunai atau dalam talian," katanya.