Menteri Besar perlu akui kesilapan, kata Pemuda Umno Johor

Mohd Hairi Md Shah
Mohd Hairi Md Shah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Johor meminta Datuk Osman Sapian untuk berkata benar, mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada semua bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya kerana menjadi punca hubungan dan rundingan Malaysia-Singapura menjadi keruh kembali.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, umum ketahui, pertikaian dan perbincangan hangat pelbagai isu antara Malaysia-Singapura sering berlaku sejak sekian lama termasuk berkaitan air, tambak, proses menuntut jajahan dan banyak lagi.

Menurutnya, baru-baru ini seperti dapat disaksikan di dada akhbar dan televisyen, pertikaian ruang udara, disusuli pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura dan juga sempadan Maritim atau had pelabuhan kedua-dua negara menjadi perbualan hangat.

"Seperti biasa, Singapura dengan kenyataannya dan Malaysia dengan pendiriannya, sehingga membawa kepada pertemuan Menteri Luar kedua-dua negara pada 8 Januari lalu yang akhirnya memutuskan Malaysia setuju menggantung Kawasan Larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang, manakala Singapura menggantung pelaksanaan ILS dalam tempoh sebulan, serta-merta.

"Namun, yang mendukacitakan adalah tindakan Osman yang tanpa angin dan ribut mahu melawat petugas Jabatan Laut Malaysia dalam perairan pertikaian antara kedua-dua negara, sehari selepas pertemuan Menteri Luar berlangsung," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Hairi berkata, pihaknya berpendapat, tindakan Menteri Besar Johor itu adalah dilakukan pada waktu, tempat dan masa yang salah kerana tidak sepatutnya dilakukan ketika tempoh 'bertenang' sebulan yang diputuskan kedua-dua negara.

"Apa yang paling menggelikan hati, hari ini Kementerian Luar dalam satu kenyataan balas terhadap komen Osman memaklumkan tidak membenarkan lawatan dibuat rombongan Menteri Besar itu.

"Mengapa sebelum ini dalam sidang media lain pula nada beliau (Osman) dengan lagaknya memberitahu media sudah menelefon Menteri Luar selama 40 minit juga Timbalan Menteri Luar kononnya untuk mendapat 'restu' membuat lawatan itu.

Artikel Berkaitan:

"Rupa-rupanya hari ini, tembelang beliau pecah dengan kenyataan Kementerian Luar yang membawa maksud rombongan beliau tidak pun mendapat kebenaran daripada pihak kementerian," katanya.

Mohd Hairi menegaskan kenyataan ini tiada kena mengena dengan isu tidak menyokong negara sendiri atau sebagai bangsa Johor tidak memberi sokongan pada pemimpin yang kononnya mahu melihat sempadan kedaulatan negara.

"Soal kedaulatan dan hak ruang udara serta Maritim, Pemuda Umno Johor tegas dengan pendirian mahu kerajaan mempertahankannya daripada jatuh ke tangan orang lain, ambillah iktibar Pulau Batu Putih.

"Namun, perlu diingat pertikaian ini membabitkan Government to Government (G2G) dan jalan penyelesaian paling 'mujarab' adalah dengan meja rundingan, duduk bersemuka dan adakan pertemuan bagi menyelesaikannya," katanya.