Penunjuk perasaan bawa mayat ke loji kebocoran gas

Penduduk tempatan berkumpul dengan mayat mangsa insiden kebocoran gas ketika mereka melakukan tunjuk perasaan di hadapan kilang LG Polymers di Visakhapatnam, Andhra Pradesh semalam. - Foto AFP
Penduduk tempatan berkumpul dengan mayat mangsa insiden kebocoran gas ketika mereka melakukan tunjuk perasaan di hadapan kilang LG Polymers di Visakhapatnam, Andhra Pradesh semalam. - Foto AFP
A
A
A

VISAKHAPATNAM - Penunjuk perasaan bertindak membawa mayat ketika protes di sebuah kilang kimia di India semalam bagi menuntut penutupan kemudahan itu selepas berlaku kebocoran gas yang membunuh 12 individu pada Khamis lalu.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi di bandar pelabuhan perindustrian Visakhapatnam itu mengakibatkan ratusan individu cedera dan tidak sedarkan diri ketika mereka cuba melarikan diri dari kawasan tersebut.

Pegawai kerajaan negeri dilaporkan telah tiba bagi melakukan lawatan keselamatan di kilang kimia yang dikendalikan oleh syarikat LG Polymers ketika kira-kira 300 penunjuk perasaan merempuh polis dan pengawal keselamatan.

Terdapat penunjuk perasaan yang membawa kereta sorong dengan tiga mayat mangsa kejadian kebocoran gas tersebut sambil melaungkan tuntutan keadilan untuk orang-orang yang terbunuh dan penutupan kilang sebelum mereka dihalang oleh pasukan keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 maut, 1,000 dimasukkan ke hospital akibat gas bocor di India

Pada lewat Khamis, zon pemindahan di sekitar kilang kimia itu diperluaskan bagi menempatkan ratusan penduduk di tempat yang lebih selamat berikutan bimbang berlaku lagi kebocoran.

Ketua Polis Negeri Andhra Pradesh, Gautam Sawang berkata, pihak berkuasa telah memulakan siasatan kejadian kebocoran gas tersebut dan tribunal alam sekitar India telah mendenda syarikat terbabit sebanyak $6.2 juta (RM26 juta) sebagai hukuman awal.

Katanya, kilang kimia itu dipercayai terbiar berikutan pelaksanaan lockdown akibat wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda di seluruh negara India dan mengesyaki kebocoran itu disebabkan oleh gas yang tersisa di dalam kapal tangki yang terlalu panas.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, syarikat terbabit mengesahkan bahawa kilang polistirena itu tidak beroperasi semasa kejadian, tetapi menegaskan bahawa terdapat kakitangan penyelenggaraan di kemudahan tersebut. - AFP