Kekangan Jepun dalam menangani pandemik Covid-19

Penduduk Jepun menganggap sikap mereka yang sentiasa mengamalkan kebersihan dan pemakaian topeng muka sewaktu keluar dari rumah dapat menghalang penyebaran wabak Covid-19 di negara itu.
Penduduk Jepun menganggap sikap mereka yang sentiasa mengamalkan kebersihan dan pemakaian topeng muka sewaktu keluar dari rumah dapat menghalang penyebaran wabak Covid-19 di negara itu.
A
A
A

JEPUN merupakan salah satu negara terawal yang menerima dampak penularan koronavirus (Covid-19) selain China dan Korea Selatan apabila melaporkan kes pertama pada 16 Januari yang lalu.

Isu menjadi lebih hangat apabila ratusan penumpang Diamond Princess Cruise, yang berlabuh di Yokohama, disahkan positif Covid-19.

Namun begitu, bilangan kes positif yang tidak meningkat dengan mendadak dalam kalangan masyarakat Jepun menyebabkan keadaan masih dianggap terkawal.

Tambahan pula, Jepun mencatatkan jumlah pesakit Covid-19 yang lebih sedikit berbanding di Malaysia pada hujung bulan Mac.

Akan tetapi keadaan ini tidak berlanjutan terlalu lama kerana Johns Hopkins University mengeluarkan data baru-baru ini yang menunjukkan peningkatan jumlah kes yang tinggi pada pertengahan bulan April di negara matahari terbit itu.

Awalnya muncul pelbagai spekulasi terhadap jumlah kes yang rendah yang dicatatkan oleh negara Jepun berbanding beberapa negara di sekitarnya.

Rata-rata penduduk Jepun pula menganggap bahawa sikap mereka yang sentiasa mengamalkan kebersihan dan pemakaian topeng muka sewaktu keluar dari rumah dapat menghalang penyebaran wabak di negara itu.

Meskipun tiada bukti kukuh yang boleh mendukung hal tersebut. Apa yang lebih membimbangkan ialah majoriti penduduk negara Jepun terdiri daripada warga emas.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya wabak ini tidak ditangani dengan baik, nyawa warga-warga emas di sini akan terancam.

Penyelidik daripada Hokkaido University, Nishiura Hiroshi menganggarkan 400,000 orang di Jepun akan meninggal dunia jika tiada langkah baru diambil oleh kerajaan Jepun.

Pengerusi Persatuan Perubatan Jepun, Yoshitake Yokomura menegaskan bahawa apa yang diperlukan dalam menangani masalah pandemik ini adalah 'kepantasan'.

Pada pandangan beliau, kerajaan Jepun telah gagal untuk bertindak dengan lebih cepat.

Pakar Pengawal Jangkitan di Kobe University, Kentaro Iwata pula berkata, Metropolitan Tokyo akan mengalami nasib yang sama seperti Metropolitan New York sekiranya masalah wabak ini tidak dibendung secepat mungkin.

Skala pemeriksaan kesihatan yang terbatas, pelaksanaan darurat yang tidak menyeluruh dan kelonggaran penguatkuasaan perintah kawalan merupakan beberapa faktor yang mengekang kerajaan Jepun daripada membendung pandemik Covid-19 ini dengan lebih efisien.

Perdana Menteri, Shinzo Abe melihat pelaksanaan ujian Covid-19 yang berskala besar sebagai pembaziran dana kerajaan. Maka, prosedur Kerajaan Jepun yang ketat untuk mengambil ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) telah mengakibatkan penularan wabak dan pesakit yang telah dijangkiti menjadi semakin sukar untuk dikesan di pelbagai kawasan dan wilayah.

Melalui perbandingan data daripada Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, dan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada pertengahan bulan April; jumlah maksimum ujian saringan PCR yang dilakukan di Jepun adalah sebanyak 9,669 kali sehari.

Jumlah ini hampir dua kali ganda sedikit berbanding pelaksanaan ujian saringan di Malaysia yang dilakukan sebanyak 16,500 kali sehari pada tempoh yang sama.

Ini bermakna terdapat ramai lagi penduduk Jepun yang tidak berpeluang untuk menjalani ujian saringan PCR.

Walhal, jumlah penduduk Jepun adalah seramai 127 juta orang, manakala di Malaysia hanyalah sekitar 32 juta orang.

Pada awal tempoh penularan wabak, jumlah rendah yang direkodkan ini berkemungkinan cuba dikekalkan semata-mata untuk memelihara kelangsungan acara Olimpik 2020 yang akan diadakan di Tokyo pada tahun ini.

Namun sejurus pembatalan Olimpik 2020 diumumkan pada 24 Mac, bilangan kes positif Covid-19 yang dilaporkan meningkat dengan mendadak sebanyak lima kali ganda jika dibandingkan dengan jumlah kes yang dicatat sebelumnya.

Pada 10 April, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akhirnya telah memutuskan untuk mengisytiharkan darurat di negara itu sehingga awal bulan Mei. Malangnya pada peringkat awal, perintah ini hanya dikuatkuasakan di tujuh wilayah zon merah iaitu dan bukan keseluruhan negara Jepun.

Wilayah-wilayah ini termasuk Tokyo, Kanagawa, Osaka, Chiba, Saitama, Hyogo dan Fukuoka. Sekolah, universiti, pusat hiburan dan premis-premis perniagaan yang tidak diklasifikasikan sebagai keperluan asas diarahkan untuk tidak beroperasi selama tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, pengangkutan kereta api masih penuh dan padat setiap hari di wilayah-wilayah zon merah seperti Metropolitan besar Tokyo dan Osaka kerana masih ramai dalam kalangan penduduk Jepun yang perlu keluar bekerja seperti biasa walaupun keadaan semasa semakin membimbangkan.

Berdasarkan data perjalanan daripada pengangkutan awam Japan Railway (JR) dan Tokyo Metro, objektif kerajaan Jepun untuk mengurangkan peratusan penduduk yang keluar daripada rumah sebanyak 70 hingga 80 peratus masih tidak mampu dicapai setakat ini.

Abe selanjutnya mengambil keputusan untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 16 April apabila melihat usaha penguatkuasaan darurat di tujuh wilayah zon merah tempoh hari tidak mencukupi untuk membendung peningkatan jumlah kes positif Covid-19 hari ke hari.

Akan tetapi, tiada tindakan tegas yang dikenakan terhadap penduduk yang keluar dari rumah tanpa keperluan penting. Usaha kerajaan Jepun yang bersifat 'memujuk' berbanding 'memerintahkan' telah mengakibatkan pelaksanaan perintah kawalan dilihat tidak begitu berkesan terhadap rakyat Jepun.

Berbeza sekali dengan Malaysia yang tidak membenarkan penduduknya untuk keluar dari rumah jika tiada keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dan tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak penguat kuasa bagi mereka yang ingkar. Perbandingan ketara dapat dilihat antara kedua-dua buah negara dalam usaha penguatkuasaan dasar dalam pencegahan penyakit.

Biarpun Malaysia belum mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi seperti negara Jepun, kerajaan dan rakyatnya terbukti lebih mampu berganding bahu dan bekerjasama dalam usaha-usaha menangani penularan wabak Covid-19 ini.

Sebagai rakyat Malaysia, terima kasih dan tahniah diucapkan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, para petugas barisan hadapan yang membanting tulang berjuang untuk memerangi wabak ini demi melindungi seluruh rakyat Malaysia.

Meskipun perjuangan ini belum selesai, semoga perpaduan yang dipamerkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakkan di Malaysia ini kita kekalkan sehingga pandemik global ini berakhir.

* Muhammad Adli Sazali merupakan ahli Kelab Bunga Raya Jepun