Pertimbang semula tempoh undi singkat

Annuar Musa. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Annuar Musa. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mempertimbangkan tempoh mengundi yang singkat di kebanyakan pusat daerah mengundi (PDM) di kawasan Parlimen ini.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, hanya empat daripada 29 PDM menetapkan tempoh mengundi sehingga jam 5.30 petang.

Manakala, katanya, tempoh mengundi di 25 PDM lain tamat lebih awal, malah ada yang tamat pada jam 1 tengahari.

"Kita rasa ada sesuatu yang tidak kena kerana kawasan Cameron Highlands ini geografinya sangat luas. Taburan pengundi dalam satu-satu PDM itu makan masa dan jarak yang jauh.

"Jadi, proses nak keluarkan pengundi ambil masa. Kita harap SPR dapat lihat perkara ini kerana ia melibatkan hak rakyat untuk mengundi," katanya dalam sidang media di Tanah Rata, di sini, hari ini.

Menurut Annuar, beliau juga membangkitkan isu berkenaan agar pengundi peka dengan tempoh mengundi yang singkat.

"Kita risau ada yang keluar mengundi lewat dan akhirnya pusat mengundi dah tutup. Kebimbangan saya jika hujan sebelah pagi atau ada rintangan lain dan jejaskan peratusan keluar mengundi.

"Kalau SPR tak mahu ubah masa, maka pengundi kena ambil maklum dan keluar awal. Tapi kalau boleh kita nak SPR tetapkan semua tempoh mengundi tamat jam 5.30 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, terdapat kebimbangan sekiranya ada usaha untuk mengurangkan jumlah pengundi di Dun Jelai.

"Saya difahamkan ada usaha agar peratusan keluar mengundi di Dun Jelai rendah untuk kurangkan prospek BN mempertahankan kerusi.

"Kita tak nak buat tuduhan tapi kita bercakap dari segi kemurnian proses demokrasi. Kita tak cari salah SPR tapi menegur supaya sistem jadi lebih baik," katanya.