Tuduh Johor Bahru Darul Maksiat, kerajaan negeri diminta bertindak

Nor Mohamad Shawaludin Abdul Malik
A
A

JOHOR BAHRU - Isu yang tular di laman sosial yang menuduh Johor Bahru sebagai Darul Maksiat perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri Johor.

Ahli Dewan Muda Johor, Nor Mohamad Shawaludin Abdul Malik berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Exco Kerajaan Tempatan, mesti mengarahkan Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan di dalam hal ini.

"Kelulusan lesen dan permit hiburan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Johor Bahru dimana Jawatankuasa berkaitan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.

"Syarat asas lesen hiburan sudah pasti berkaitan dengan waktu beroperasi. Jika benar dakwaan operasi pusat hiburan yang dibuka selama 24 jam sehari, maka tindakan segera perlu diambil," katanya dalam satu kenyataan.

Nor Mohamad Shawaludin berkata, begitu juga dengan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang mengeluarkan lesen perniagaan juga mempunyai punca kuasa untuk mengambil tindakan terhadap premis yang melanggar syarat lesen.

"Sehubungan itu, saya dan beberapa orang ahli Dewan Muda Johor akan memulakan temubual atau kajian khusus untuk mendapatkan maklum balas segera daripada Belia dan Anak Muda di sekitar Johor Bahru mengenai perkara tersebut bermula malam ini," katanya.

Beliau berkata, penyalahgunaan dadah sintetik dan kewujudan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing adalah sesuatu yang amat mendukacitakan, apatahlagi sebagai sebuah negeri yang melaungkan 'Harapan Bangsa Negeri Lestari'

"Permasalahan seumpama ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada bangsa Johor.

Beliau berharap tindakan susulan segera dan berkesan dapat diambil oleh pihak berkuasa supaya permasalahan seumpama ini tidak menjadi barah kepada kesejahteraan rakyat di negeri Johor.