Gerak Malaysia: Terkandas di kampung ekoran PKP

Mohd Rozamli dan keluarga sudah bersiap dan tidak sabar menunggu Ahad ini untuk kembali ke Kuantan selepas lebih sebulan terkandas di rumah ayahnya di KualanTelemung, Terengganu.
Mohd Rozamli dan keluarga sudah bersiap dan tidak sabar menunggu Ahad ini untuk kembali ke Kuantan selepas lebih sebulan terkandas di rumah ayahnya di KualanTelemung, Terengganu.
A
A
A

KUANTAN - "Walaupun lebih sebulan terkandas di kampung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak ada bersama.

"Rumah yang ditinggalkan di Kuantan ada jiran dan rakan-rakan tolong tengok dan semuanya dalam keadaan baik," kata Mohd Rozamli Mohd Razak, 43.

Dia yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Afzan di sini terkandas bersama keluarga di rumah ayahnya di Rumah Murah Kuala Telemung, Terengganu sejak April lalu selepas PKP dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Mohd Rozamli berkata, dia sekeluarga berada di kampung ekoran kematian ibu tiri, Rabiah Che Harun, 60 yang meninggal akibat lelah pada 5 April lalu.

"Pada awal cuti sekolah pertengahan Mac sebelum PKP bermula kami berada di Kelantan, di rumah keluarga isteri. Beberapa hari kemudian PKP bermula dan 5 April saya dapat perkhabaran mak meninggal di kampung dan kami terpaksa bergegas balik ke Terengganu.

"Ketika itu pihak polis sudah membuat sekatan jalan dan kami terpaksa melepasinya di beberapa lokasi dalam perjalanan dari Kelantan ke Terengganu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semuanya berjalan lancar dan jenazah ibunya dapat disempurnakan.

"Bagaimanapun timbul juga perasaan sayu kerana dalam PKP ini, pengurusan jenazah tidak dapat diuruskan seperti biasa sebaliknya ada peraturan ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia juga terkesan pada awalnya lebih-lebih lagi baru kehilangan orang tersayang.

"Kita nak keluar rumah pun tak boleh. Jalan nak keluar dari kampung Kuala Telemung ini pun ketika itu ada sekatan jalan jadi memang benar-benar rasa terkurung.

"Aktiviti seharian diisi dengan jadual tugas rutin sebagai guru apabila terpaksa mengadakan sesi kelas secara dalam talian atau melalui kumpulan WhatsApp yang ditetapkan pihak sekolah," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang berkata, sepanjang PKP, dia sekeluarga menyertai sesi bacaan al-Quran menerusi Program Malaysia #Qurantime selama satu jam yang disiarkan secara langsung di saluran TV AlHijrah.

Aktiviti membaca al-Quran antara pengisian aktiviti harian Mohd Rozamli ketika terkandas di rumah ayahnya di Terengganu sejak April lalu.
Aktiviti membaca al-Quran antara pengisian aktiviti harian Mohd Rozamli ketika terkandas di rumah ayahnya di Terengganu sejak April lalu.

"Saya berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV AlHijrah, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Kumpulan Karangkraf dan Sinar Harian yang bergabung tenaga membawa sesi satu jam bersama Al-Quran ini.

"Kami juga mengikuti program aktiviti rumah Ngaji termasuk Program Majlis Ayah juga melalui TV AlHijrah dan program-program lain yang menjadi keutamaan sebagai pengisian aktiviti harian.

"Sesi membaca al-Quran dan aktiviti keagamaan ini menjadi sebahagian aktiviti seharian kami sekeluarga setidak-tidaknya ia memberi manfaat dan masa tidak dihabiskan begitu sahaja,"katanya.

Menurutnya, al-Quran itu sendiri penawar dalam hidup dan kehidupan manusiawi kerana ALLAH yang ciptakan manusia dan ALLAH jugalah yang tahu bagaimana untuk membetulkan hambaNYAyang terlupa.

Tambah beliau, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, dia mula lega apabila dapat keluar membeli barang keperluan, dapat menguruskan kubur arwah ibu dan menyelesaikan apa yang patut.

"Bila kerajaan umum kelonggaran rentas negeri khas bagi orang yang terkandas seperti kami ini, lagi rasa teruja dan seronok sebab tak sabar lagi nak kembali ke rumah.

"Awal-awal lagi isi permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia yang diwujudkan polis elak terlepas peluang," katanya.

Mohd Rozamli berkata, mereka kini sudah bersiap dan tidak sabar menunggu Ahad ini untuk berlepas pulang ke Kuantan.

"Harap semua berjalan lancar dan terima kasih kepada pihak polis yang mengeluarkan jadual perjalanan secara berperingkat mengikut negeri bagi melancarkan perjalanan dan mengelak kesesakan," katanya.

Mohd Rozamli berkata, pengalaman yang berlaku di sebalik PKP ini ada hikmahnya.Sebagai umat Islam kita mesti menerima dengan hati reda.

"Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Walaupun berat namun itulah cara ALLAH tunjukkan kudrat-NYA," katanya.