Empat pemain Sampdoria positif Covid-19


Kesebelasan Sampdoria . - Foto : www.livefutbol.com
Kesebelasan Sampdoria . - Foto : www.livefutbol.com
A
A
A

Saingan Serie A yang sedang dalam persiapan untuk dimulakan kembali dalam masa terdekat sekali lagi dikejutkan apabila empat pemain Sampdoria disahkan positif Covid-19 termasuk seorang pemain yang telah sembuh sebelum ini sekali lagi disahkan positif wabak berkenaan.

Menurut satu kenyataan rasmi kelab berkenaan semalam, kesemua pemain berkenaan telah pun menjalani perintah kuarantin dan perkembangan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak mendedahkan identiti bagi ketiga-tiga kes baharu berkenaan, termasuk pemain yang diuji positif buat kali kedua.

“Sebelum ini lima pemain Sampdoria yang diuji positif Covid-19 telah pun sembuh. Pemain-pemain itu melibatkan Manolo Gabbiadini, Omar Colley, Albin Ekdal, Antonino La Gumina dan Morten Thorsby.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka disahkan positif sekali lagi kali ini dan ini ditambah dengan tiga lagi kes baharu positif yang berjaya dikesan daripada pasukan ini.

“Namun, kita tidak dapat mendedahkan identiti pemain-pemain berkenaan yang disahkan positif Covid-19 ini,” menurut kenyataan rasmi berkenaan.

Untuk rekod, Sampdoria kini berada pada kedudukan ke-16 Serie A dengan hanya meraih 26 mata daripada 25 perlawanan setakat ini dan dibezakan dengan hanya satu mata daripada zon penyingkiran apabila saingan Serie A dihentikan akibat wabak Covid-19.

Selain Serie A, saingan Bundesliga juga dijangka dimulakan semula minggu depan sejak ditangguhkan Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Torino mendedahkan seorang pemainnya diuji positif sebelum Fiorentina mengesahkan enam pemainnya diuji positif Covid-19 melibatkan tiga baru-baru ini.

“Kita terus menjalankan proses isolasi bagi pemain-pemain yang terlibat, pemain-pemain lain pula boleh memulakan latihan seperti biasa,” menurut kenyataan berkenaan.