DBKL tegas pastikan tiada warga asing berniaga

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak tegas dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam industri perniagaan khususnya sektor penjajaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, dalam perancangan aktiviti perdagangan dan perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, DBKL menghadapi kebanjiran peniaga warga asing khususnya di sektor tred, perniagaan dan industri serta penjajaan.

"DBKL akan menjalankan tindakan penguatkuasaan yang turut membabitkan agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kebanjiran peniaga warga asing ini secara langsung memberikan impak yang tidak baik kepada peniaga tempatan serta mencemarkan imej bandar raya Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat dua kategori perniagaan yang dikawal UUK bertujuan mengawal aktiviti perniagaan serta menguatkuasakan peruntukan peraturannya.

"Jenis perniagaan terbabit ialah tred, perniagaan dan industri serta penjajaan namun menimbulkan kekeliruan kepada orang awam berhubung pembabitan warga asing dalam dua kategori perniagaan ini.

"Aktiviti perniagaan di bawah tred, perniagaan dan industri mengguna pakai UUK Pelesenan tred, perniagaan dan industri 2016 dan UUK Pelesenan Penempatan Makanan 2016 dan beroperasi di rumah kedai, kompleks beli-belah, bangunan pejabat, restoran, kedai runcit dan serbaneka," katanya.

Jelasnya, mengikut perundangan, pemegang lesen dibenarkan mengambil warga asing yang mempunyai permit kerja sah untuk bekerja di premis mereka.

Artikel Berkaitan:

"DBKL bagaimanapun boleh membatalkan lesen jika pemegangnya didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan pekerja warga asing," katanya.

Tambahnya, sektor penjajaan pula membabitkan pasar borong, pasar dan penjaja yang menggunapakai UUK Pasar Borong (WPKL) 2002, UUK Pasar (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

"Aktiviti perniagaan itu beroperasi di pasar, tepi jalan, pusat penjaja dan pasar malam melalui UUK Pasar Borong (WPKL) 2002 membenarkan pemegang lesen mengambil pembantu warga tempatan yang diluluskan oleh Datuk Bandar saja.

"Bagi UUK Pasar (WPKL) 2016 pula melarang pengambilan pembantu warga asing di pasar awam atau mana-mana (warga asing) tanpa permit kerja sah bekerja di pasar persendirian, " katanya.