Rokok: Masyarakat sudah mula patuh

Seorang pekerja kedai makan di sebuah premis makanan di Kuantan sedang menambah tanda larangan merokok demi menyahut seruan kerajaan yang tidak membenarkan merokok di premis berkenaan.
Seorang pekerja kedai makan di sebuah premis makanan di Kuantan sedang menambah tanda larangan merokok demi menyahut seruan kerajaan yang tidak membenarkan merokok di premis berkenaan.
A
A
A

KUANTAN - Larangan merokok yang berkuat kuasa 1 Januari lalu memberi impak positif kepada peniaga di daerah ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pengunjung kedai makan mulai patuh kepada peraturan berkenaan.

Seorang peniaga, Hamdan Shahril Zakuan, 43 berkata, sebagai peniaga makanan dia menyambut baik peraturan baru tersebut.

Menurutnya, selepas lebih dua minggu dikuatkuasakan, dia berpuas hati apabila pelanggan mematuhi peraturan baru itu.

"Sepanjang kedai beroperasi hari ini, saya nampak pelanggan yang datang semua tak merokok. Tak seperti keadaan sebelum ini.

"Alhamdulillah, sebagai peniaga saya rasa berpuas hati. Ini satu langkah baik yang diambil kerajaan hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, dia turut akan mengambil langkah untuk menasihati pelanggan sekiranya didapati merokok.

"Kalau pelanggan merokok di kedai ini, saya akan nasihat sebaiknya. Kalau mereka merokok, saya pun boleh kena saman. Saya juga sudah tak sediakan bekas abu rokok lagi bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa abu, asap dan puntung rokok di kawasan kedai makan saya rasa ia akan jadi lebih nyaman dan bersih," katanya.

Dalam pada itu, bagi seorang peniaga warung kedai makan, Ahmad Salleh Daud, 52 mengakui bukan mudah untuk menegur pelanggan dalam kalangan perokok tegar.

“Terus terang tak berbaloi kalau saya kena denda sedangkan mereka (perokok) yang datang ke kedai saya. Jadi sebab itu saya kena bertegas juga...jangan benarkan mereka merokok.

“Saya juga sudah maklumkan kepada perokok yang saya tidak halang mereka, tetapi bukan di sini (kedai makan). Memang sukar untuk nasihat perokok tegar ini, tetapi saya cakap elok-elok.

“Saya minta mereka merokok dalam jarak yang dibenarkan seperti di tepi pokok, longkang dan sebagainya. Kenalah hormati perokok pasif seperti anak kecil, wanita mengandung termasuklah golongan lelaki yang tidak merokok,” katanya.