Pas gesa siar Sidang DUN Pahang secara langsung

Pas Pahang gesa kerajaan negeri menyiarkan persidangan DUN secara langsung.
Pas Pahang gesa kerajaan negeri menyiarkan persidangan DUN secara langsung.
A
A
A

KUANTAN - Dewan Pemuda Pas Pahang menggesa agar kerajaan negeri menyiarkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara langsung.

Ketua Penerangannya Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, kewajaran perbahasan ini dipertontonkan secara langsung kepada rakyat agar mereka jelas mengenai perkara yang dibahas dan dibincangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing.

Tegasnya, rakyat juga boleh mendengar secara terus jawapan balas oleh pihak kerajaan terhadap apa permasalahan yang dihadapi mereka.

"Jika dilihat Pahang antara negeri yang tidak menyiarkan perbahasan ini secara langsung untuk diikuti oleh rakyat. Adakah kerajaan YAB (Yang Amat Berhormat) MB (Menteri Besar) Pahang, (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) gusar dan takut untuk menyiarkan perbahasan Dewan Negeri Pahang secara langsung?

"Kami melihat negeri-negeri yang diterajui oleh PN (Perikatan Nasional) lebih terbuka dan matang dalam berpolitik dengan menyiarkan perbahasan dewan negeri secara langsung untuk tontonan rakyat. Ini jelas menunjukkan keterbukaan dan kematangan PN dalam menerajui pentadbiran sesebuah kerajaan," katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, beliau berkata, bermula Isnin DUN akan kembali bersidang dan ia tempat wakil rakyat berbahas mengenai polisi kerajaan serta tempat membawa suara rakyat yang mereka wakili.

Justeru katanya, Pas Pahang menuntut dan menggesa Wan Rosdy untuk menjadi anak jantan dengan menyiarkan perbahasan DUN secara langsung agar dapat ditonton oleh rakyat.

"Dalam makluman kami sudah beberapa kali isu ini dibawa dan dilontarkan oleh YB (Yang Berhormat) pembangkang tetapi seperti tidak diendahkan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi bersempena dengan DUN yang akan bersidang ini, kami sekali lagi menggesa dan menuntut Wan Rosdy dan pihak kerajaan untuk menyiarkan perbahasan ini secara langsung, berjiwa besar dan berani seperti negeri-negeri yang telah menyiarkan perbahasan Dewan Negeri mereka untuk tontonan rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!