Dah la terbabas, didenda RM3,500 pula!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja didenda RM3,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, malah terpaksa menanggung kos pembaikian kenderaan berikutan kereta dinaiki rosak selepas terbabas dalam longkang dipercayai kerana takut ditahan polis.

Mat Khalid Abd Aziz, 42, dan Muhammad Khir Hussain, 21, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret M Saravanan.

Ketika ditanya Saravanan mengenai alasan tidak memberhentikan kereta, tertuduh mengakui takut kerana pernah dihukum atas kesalahan ingkar PKP.

“Awak sepatutnya berhenti, tengok sekarang kereta remuk, habis pula duit untuk baiki. Jika awak akur dengan arahan polis, semua ini mungkin tidak akan berlaku,” katanya.

Kedua-dua tertuduh didenda RM2,500 setiap seorang bagi pertuduhan pertama iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas, manakala RM1,000 bagi pertuduhan ingkar PKP.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Khir yang bekerja sebagai peniaga buah bersama Mat Khalid yang duduk di bahagian penumpang enggan memberhentikan kereta apabila diminta dan terus memecut ke Nakhoda, Selayang pada jam 2.20 pagi, 5 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan kedua, pada masa dan lokasi yang sama, mereka didakwa bergerak dari kawasan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan.

Dakwaan dibuat mengikut Peraturan 5 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 12 (1) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.