[VIDEO] Dua rakan terlepas tali gantung, dipenjara 5 tahun

Muhammad Iman Divaharan dan Suria Sekaran terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa meminda pertuduhan membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu kepada membunuh tanpa niat.
Muhammad Iman Divaharan dan Suria Sekaran terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa meminda pertuduhan membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu kepada membunuh tanpa niat.
A
A
A

IPOH - Dua rakan terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa meminda pertuduhan membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu kepada membunuh tanpa niat.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Muhammad Iman Divaharan Abdullah, 44, dan GS Suria Sekaran, 27, menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Ling Hua Chai, 47.

Mahkamah memutuskan pertuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 304(b) kanun yang sama pada peringkat penutupan pembelaan manakala hukuman penjara ditetapkan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Mac 2020.

Mengikut pertuduhan pilihan yang dibacakan, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama telah menyebabkan kematian kepada Hua Chai dengan mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis karaoke di Pusat Bandar Manjung, Seri Manjung dalam daerah Manjung antara jam 11.30 malam pada 7 Mac 2020 hingga 12.20 pagi 8 Mac 2020.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil dan Nasrul Hadi Abdul Ghani mencadangkan satu hukuman berat dikenakan mengambil kira kepentingan awam dan akibat tindakan kedua-dua tertuduh yang menyebabkan berlakunya kehilangan nyawa.

Bagaimanapun, Muhammad Iman Divaharan diwakili Peguam Charan Singh memohon hukuman paling ringan memandangkan fakta kes telah menunjukkan penglibatan anak guamnya yang bekerja sebagai pegawai keselamatan itu tidak begitu serius.

Sementara itu, Peguam Tun Mohamad Ammar Aziz yang mewakili Suria Sekaran memohon hukuman ringan dikenakan dari tarikh tangkapan memandangkan tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai penjaga parkir telah berusaha bekerja membantu ibu serta adik-beradik yang lain.

"Ketika kejadian, tertuduh masih muda dan kes ini merupakan kesalahan pertama dilakukannya. Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah dan insaf atas apa yang telah terjadi.

"Senjata pisau yang digunakan adalah untuk cubaan melarikan diri daripada serangan ke atas dirinya," katanya.

Mengikut fakta kes, berlaku pertengkaran antara kedua-dua tertuduh dengan mangsa dipercayai akibat rasa tidak puas hati apabila kenderaan tertuduh pertama iaitu Muhammad Iman Divaharan menghalang laluan keluar masuk kenderaan.

Semasa pergaduhan, tertuduh kedua iaitu Suria Sekaran telah menggunakan pisau terhadap mangsa hingga mengakibatkan kecederaan.

Mangsa yang kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seri Manjung disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.43 tengah hari pada 9 Mac 2020.