X

Kindly register in order to view this article
!

Wak Doyok berdepan denda setengah juta

Wak Doyok hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas didakwa menggunakan lambang Kemahkotaan Sultan Johor tanpa kebenaran bertulis Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Personaliti fesyen terkenal, Wak Doyok berdepan denda RM500,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan lambang Kemahkotaan Sultan Johor tanpa kebenaran bertulis Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 30 April lalu.

Bagaimanapun, Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 41, mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob.

Berdasarkan pertuduhan, Wak Doyok yang juga pelakon itu didakwa menggunakan lambang kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim bagi tujuan persendirian tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada Sultan Johor.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira jam 2.15 petang pada 30 April lalu.

Wak Doyok didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017. yang boleh dihukum denda antara RM250,000 dan RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan manakala tertuduh diwakili peguam,.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad meminta mahkamah memberi jaminan RM50,000 ke atas tertuduh, namun peguam MN Halim Md Amin dan Syaffie Naim merayu denda yang rendah.

"Anak guam menjaga ibunya yang berusia 78 tahun di samping pendapatan perniagaannya terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19)." kata MN Halim.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan kes ditetapkan pada 15 Jun ini bagi penyerahan dokumen.

Tertuduh yang membayar ikat jamin itu berkemeja batik coklat tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira jam 9 pagi.

Pada 28 April lalu, Wak Doyok mencetuskan kontroversi selepas memuat naik gambar di laman Instagramnya menunjukkan sebentuk cincin mempunyai ukiran lambang peribadi Sultan Johor.

Susulan itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim menuntut Wak Doyok memberi penjelasan berhubung penggunaan lambang berkenaan.

Wak Doyok kemudiannya membuat kenyataan permohonan maaf kepada kerabat Diraja Johor atas kecuaian dan kesilapannya menyalahgunakan lambang peribadi institusi diraja itu.

Wak Doyok dipanggil untuk beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada 30 April lalu selepas kerajaan negeri membuat laporan berhubung kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wak Doyok dipanggil beri keterangan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus