PKPB jangan biar rakyat pening

Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan sejak kelmarin. - Foto Bernama
Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan sejak kelmarin. - Foto Bernama
A
A
A

RENCANANYA selepas 47 hari melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan, lebih 32 juta rakyat Malaysia sepatutnya akan melalui fasa kebebasan ekonomi dan sosial pada 4 Mei lalu.

Bagaimanapun, fasa kebebasan yang dipanggil Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu menyaksikan masih banyak perkara yang perlu dipatuhi terutamanya melibatkan aktiviti sosial dalam bentuk perhimpunan beramai-ramai.

Bagaimanapun, agak mengejutkan dan bagaikan satu tamparan kepada kerajaan Persekutuan, keputusan itu bagaimanapun enggan diikuti oleh enam negeri yang membuat keputusan sendiri mengekalkan PKP sehingga ke satu tarikh lain.

Ketidakseragaman keputusan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menimbulkan banyak persoalan termasuklah isu kuasa dan kesepakatan negeri-negeri yang membentuk sebuah kerajaan Persekutuan di negara ini.

Dengan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mengumumkan PKPB sebenarnya telahpun diwartakan sekali gus membatalkan PKP empat yang sepatutnya berakhir 12 Mei, tidak sepatutnya timbul isu ada negeri masih mahu kekal dengan PKP empat.

Lebih buruk lagi, keputusan berbelah bagi antara Putrajaya dan enam kerajaan negeri itu mula dijaja sesetengah pihak dengan persepsi bahawa enam negeri kini iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak sedang 'melawan' kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam zaman sukar dan gawat ini, tidak sepatutnya Persekutuan dan negeri memberi gambaran kepada rakyat bahawa kalangan pembuat dasar seolah-olah tidak sependapat.

Seharusnya ada kesepakatan dan persetujuan bersama melalui rundingan dalam satu meja bulat.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana pada akhirnya yang susah dan yang pening ialah rakyat.

Salah satu contoh mudah kisah seorang pemilik kedai aksesori di Kota Bharu, Kelantan kelmarin yang bersama-sama pekerjanya membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

Namun, selepas beberapa jam dia terpaksa menutup semula premis itu kerana baru mengetahui Kelantan belum lagi membuka ekonomi dan sosialnya seperti diarahkan Persekutuan.

Hakikatnya dalam tempoh 47 hari PKP melawan Covid-19, dunia memandang Malaysia dengan penuh kagum dan hormat. Kerajaan Malaysia melaksanakan PKP dengan penuh cekap manakala rakyat Malaysia pula patuh dengan arahan berkurung di rumah.

Janganlah tempoh cemerlang ini dirosakkan dengan keputusan bercelaru pembuat dasar. Apa pun keputusan kalian, buatlah secara bersama kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.