Covid-19: Kita belum menang lagi, kata Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Kita masih dalam tempoh pemulihan, belum lagi mencapai sebuah kemenangan", kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai maklum balas terhadap perkembangan semasa rakyat di Terengganu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula semalam.

"Saya dengar apa yang berlaku pada hari pertama PKPB di Terengganu. Saya percaya ramai yang perlu keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga mereka.

"Bagaimanapun, sentiasa ingat tiga perkara ini. Jaga jarak, pakai penutup muka (topeng muka) dan kerap basuh tangan," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan mereka yang tidak mempunyai alasan munasabah untuk keluar rumah terus kekal berada di rumah.

"Yang tiada keperluan untuk keluar, saya mohon agar kekal duduk di rumah kerana itulah tempat yang paling selamat. Saya merayu pada semua," kata beliau.

Terdahulu, Terengganu memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yaasin pada 1 Mei lalu.

Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang agak lesu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan pelaksanaan PKPB di Terengganu juga dilakukan berdasarkan perkembangan semasa koronavirus (Covid-19) di seluruh negeri yang bertambah baik.