Mercun RM60,000 dirampas

Abd Latif (kanan) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas dalam serbuan di rumah di Padang 1, semalam.
Abd Latif (kanan) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas dalam serbuan di rumah di Padang 1, semalam.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Bukit Kayu Hitam berjaya merampas sejumlah mercun bernilai RM60,000 hasil serbuan di sebuah rumah di Padang 1, Changlun, semalam.

Komander Aksem Kedah, Abd Latif Abd Rahman berkata, serbuan dibuat kira-kira jam 3.30 petang selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Ketika serbuan dijalankan, rumah berkenaan tidak berpenghuni dan hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui sejumlah mercun pelbagai jenis di ruang tamu rumah terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar rumah menemui sebuah kereta jenis Kia Forte berwarna putih dalam keadaan berkunci dan mencurigakan,” katanya ketika sidang media di Kompleks Aksem di sini, tadi.

Menurutnya, setelah menanti selama 30 minit, tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik kereta berkenaan.

“Oleh itu, anggota bertindak memecahkan cermin di bahagian pemandu dan berjaya menemui sejumlah mercun yang diletakkan di tempat duduk belakang dan but belakang kereta berkenaan,” katanya.

Abd Latif berkata, pihaknya yakin rumah itu dijadikan transit untuk mengumpul mercun yang diseludup masuk dari negara jiran sebelum dipasarkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Kita telah merampas mercun serta kereta berkenaan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM90,000.

Artikel Berkaitan:

“Kes ini diserahkan kepada bahagian penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tidak berkastam,” katanya.

Tambahnya, Aksem akan memperketatkan kawalan khusus untuk musim perayaan yang bakal tiba kerana permintaan mercun dan bunga api yang tinggi ketika ini.

“Kita juga akan mempergiatkan operasi berbanding hari biasa dengan bantuan 130 anggota yang bertugas 24 jam di sempadan,” katanya.