Tiga peniaga di Temerloh dikesan lakukan kesalahan

Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Temerloh.- Foto: KPDNHEP Temerloh
Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Temerloh.- Foto: KPDNHEP Temerloh
A
A
A

TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Temerloh mengesan kesalahan dilakukan tiga peniaga kedai runcit termasuk seorang peniaga warga asing dalam operasi dilakukan pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, dua peniaga tempatan dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(6), Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Peniaga masing-masing berusia 67 dan 34 tahun itu didapati menggunakan satu unit alat timbang neraca spring had terima 10 kilogram (kg) yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

"Seorang peniaga warga India berusia 43 tahun telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mempamerkan tanda harga jualan runcit Gas Petroleum Cecair (LPG) di bawah kesalahan Perenggan 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi dilakukan itu bagi memastikan bekalan makanan asas mencukupi di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami berharap peniaga mematuhi perundangan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan seperti mempamerkan tanda harga pada barang dijual agar pengguna dapat membuat pilihan.

"Peniaga hendaklah menggunakan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan untuk tujuan perdagangan," katanya.

Ujarnya, sepanjang tempoh PKP, KPDNHEP Cawangan Temerloh akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

Artikel Berkaitan:

"Nasihat saya juga kepada semua pengguna khususnya di daerah Temerloh, Maran dan Bera supaya berbelanja mengikut keperluan dengan cara berhemah dan bijaksana agar tidak terburu-buru membeli barangan di musim perayaan ini sehingga boleh menimbulkan pembelian panik dalam kalangan masyarakat," katanya.