Penganggur didenda RM2,500 ceroboh surau, ingkar PKP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didenda RM2,500 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana menceroboh masuk kawasan surau dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga.

Majistret, Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Norazman Ruslan,30, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Norazman didakwa menceroboh masuk dalam kawasan Surau Ar-Rahmaniah, Jalan Batu 7 Gombak, Gombak di sini pada 3.50 petang pada 27 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Dia juga mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memintah mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana tertuduh ingkar PKP dengan menceroboh masuk dalam kawasan surau yang pagarnya berkunci dan berada di tepi tangga tempat solat wanita.

Bagaimanapun, Peguam, Ammanjet Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum bagi kedua-dua pertuduhan itu kerana anak guamnya sudah insaf.

Artikel Berkaitan:

Ditanya Majistret mengapa dia memasuki kawasan surau tersebut, Mohd Norazman berkata, dia hanya mencari tempat berteduh kerana hujan pada ketika itu sementara menunggu kawannya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan kerana menceroboh masuk kawasan surau serta denda RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana melanggar PKP.

Di mahkamah sama, 11 individu termasuk tiga wanita berusia antara 47 hingga 67 tahun masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mereka mengaku bersalah berhimpun bagi maksud sosial dengan bermain mahjong di sebuah rumah di Selayang Utama, Gombak kira-kira jam 3.15 petang, 22 April lalu..

Nur Shasha Hidayah meminta hukuman setimpal, namun kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana mereka telah insaf. - Bernama