AS akan miliki vaksin Covid-19 hujung tahun ini, kata Trump

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

WASHINGTON- Amerika Syarikat (AS) akan mempunyai vaksin koronavirus (Covid-19) sebelum tahun baru, kata Presiden Donald Trump pada Ahad, lapor agensi berita Anadolu.

"Kami sangat yakin akan dapat menghasilkan vaksin pada akhir tahun ini, menjelang akhir tahun ini. Kami sedang berusaha keras." kata Trump.

Menurut pakar, vaksin memerlukan masa 12 hingga 18 bulan untuk dihasilkan.

"Nanti doktor akan kata, 'Anda sepatutnya tidak boleh cakap seperti itu.' Saya akan cakap apa yang saya fikir... Saya rasa kita akan dapat hasilkan vaksin lebih cepat," tambahnya.

Sehingga Ahad, penyakit Covid-19 sudah menjangkiti lebih 1.1 juta orang di AS dan membunuh lebih 67,000 orang, menurut data Johns Hopkins University.

Trump turut menyemak semula ramalannya mengenai keseluruhan jumlah korban.

Pada pertengahan April, beliau berkata sehingga 65,000 orang akan maut akibat pandemik Covid-19, lebih rendah berbanding ramalan pakar di Rumah Putih.

“Sebelum ini saya kata seramai 65,000, dan sekarang saya jangka 80 atau 90 dan jumlah itu akan terus naik dan naik dengan cepat," kata Trump.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir Mac, doktor yang mengetuai pasukan tindak balas koronavirus Rumah Putih, Deborah Birx, membentangkan mengenai unjuran jumlah kematian.

Antara 100,000 dan 240,000 orang dijangka terkorban, jika AS mengikuti garis panduan penjarakan sosial dan kesihatan. Tanpa sebarang campur tangan, bakal menyaksikan antara 1.5 sehingga dua juta kematian.-Bernama