Kerajaan negeri ada hak tidak laksana PKPB

Para peniaga mengamalkan penjarakan sosial serta memakai penutup mulut dan hidung sebagai normal baharu bagi membendung pandemik Covid-19 ketika sesi taklimat pematuhan garis panduan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, di Kompleks Ujana Kewangan Labuan hari ini. - foto BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Para peniaga mengamalkan penjarakan sosial serta memakai penutup mulut dan hidung sebagai normal baharu bagi membendung pandemik Covid-19 ketika sesi taklimat pematuhan garis panduan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, di Kompleks Ujana Kewangan Labuan hari ini. - foto BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri mempunyai hak untuk menentukan sama ada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dilaksanakan atau tidak di negeri masing-masing.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana semua aktiviti ekonomi berkaitan pengendalian perniagaan atau membuka kedai adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Apa sahaja berkaitan aktiviti dalam negeri termasuk operasi perniagaan, kutip cukai pintu, cukai hiburan dan sebagainya semuanya tertakluk bawah undang-undang kerajaan negeri.

"Oleh itu, walaupun kerajaan Pusat mengarahkan pelaksanaan PKPB dibuat di seluruh negara bermula 4 Mei (esok), kerajaan negeri boleh kata tidak.

"Kerajaan Pusat juga tidak boleh paksa sebab ia jelas dalam bidang kuasa kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hampir semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati menjelang pelaksanaan PKPB bermula 4 Mei.

No Image Caption

Bagaimanapun, beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak menegaskan tidak akan melaksanakan PKPB tetapi akan meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei nanti.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menjelaskan, kerajaan tidak memaksa negeri-negeri untuk melaksanakan PKPB secara keseluruhan tetapi dibenarkan untuk membuat penyesuaian mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, jika mengikut hujah undang-undang pula, PKP adalah tertakluk di bawah undang-undang Persekutuan iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau berkata, peraturan-peraturan berkaitan perniagaan dan sebagainya adalah di bawah peraturan dikeluarkan kementerian.

"Jadi ia merupakan undang-undang Persekutuan sebab itu PKP terpakai kepada semua negeri di Malaysia.

"Apabila PKP dilonggarkan dan PKPB ini pula dibuat atas perubahan kepada peraturan dan bukan akta.

"Secara amnya, semua negeri sepatutnya ikut arahan kerajaan Pusat kerana ia adalah di bawah undang-undang Persekutuan tetapi kerajaan negeri pula ada undang-undang sendiri berkaitan aktiviti perniagaan dalam negeri mereka," katanya.