X

Kindly register in order to view this article
!

Menteri boleh keluar kenyataan untuk beri penjelasan SOP kerajaan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. Kerajaan memutuskan untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Menteri dari setiap kementerian dibenarkan mengeluarkan kenyataan media hanya untuk memberikan penjelasan terhadap perkara-perkara dimaklum atau diluluskan kerajaan sepanjang tempoh pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sudah memutuskan hanya tiga pemimpin mewakili kerajaan dalam mengemukakan sebarang pengumuman mengenai Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Perdana Menteri, menteri-menteri kanan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

"Tetapi menteri lain juga boleh memberikan penjelasan terhadap perkara diluluskan kerajaan sepanjang Covid-19 iaitu pencerahan terhadap prosedur standard operasi (SOP) dikeluarkan kerajaan terhadap mana-mana sektor membabitkan kementerian berkaitan.

"Mereka hanya akan memberikan penjelasan lebih terperinci untuk kefahaman rakyat dan perkara itu tidak sepatutnya akan menjadi isu pada masa hadapan," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas persoalan sama ada kerajaan akan mengubah SOP penyampaian maklumat kepada rakyat selepas perlaksanaan PKPB ini atau masih kekal dengan tatacara ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengalu-alukan penglibatan rakyat untuk membantu kerajaan memantau SOP perlaksanaan PKPB selepas ini dengan tanggungjawab itu tidak hanya dipukul anggota beruniform semata-mata.

Menurutnya, walaupun kerajaan memperkenalkan PKPB bagi memberi kelonggaran kepada rakyat untuk kembali bekerja, mereka masih tertakluk kepada SOP ditetapkan.

"Jika mana-mana syarikat didapati langgar SOP, laporkan kepada kami supaya kerajaan akan mengambil tindakan menutup operasi perniagaan mereka.

"Orang ramai dialu-alukan membantu kerajaan dengan melaporkan setiap pelanggaran SOP PKPB supaya kita sama-sama dapat memastikan tiada berlaku kenaikan Covid-19 sekaligus memutuskan rantaian penularan pandemik itu dengan segera," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus