Kalimah ALLAH: KDN digesa beri penjelasan - Akmal

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa supaya memberi penjelasan berhubung tindakan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian pada Isnin.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penjelasan yang tepat dan tuntas perlu diberikan kepada rakyat berhubung perkara berkenaan kerana isu itu melibatkan soal kesucian agama.

“Kita mohon satu penjelasan yang tuntas dan tepat dari KDN perlu diberikan kepada seluruh rakyat.

“Jika tidak mahu, kami dan seluruh rakyat turun ke jalanan untuk mempertahankan isu ini.

“Ini bukan soal politik,ini soal kesucian agama,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Isnin.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan ALLAH, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Pada Isnin, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media mengesahkan kerajaan Malaysia dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Ujar Shamsul, notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.