Covid-19 tersebar dalam kalangan pemain FC Koln

Verstraete percaya Covid-19 sudah tersebar dalam kalangan pemain serta kesemua staf kejurulatihan pasukan FC Koln.
Verstraete percaya Covid-19 sudah tersebar dalam kalangan pemain serta kesemua staf kejurulatihan pasukan FC Koln.
A
A
A

PEMAIN tengah FC Koln, Birger Verstraete percaya bahawa koronavirus (Covid-19) sudah pun tersebar dalam kalangan pemain serta kesemua staf kejurulatihan pasukan berkenaan.

Verstraete berkata, biarpun pihak FC Koln tidak mendedahkan staf yang diuji positif itu, tetapi laporan media mengatakan ia melibatkan dua pemain serta seorang fisioterapi pasukan berkenaan.

"Apa yang diberitahu oleh jurucakap FC Koln kepada media adalah tiada siapa yang telah berhubung dengan kesemua staf yang disahkan positif itu.

“Bagaimanapun, jika salah seorang yang dikesan positif Covid-19 itu melibatkan staf fisioterapi, saya mengakui dia ada merawat saya serta pemain lain sebelum ini.

“Oleh itu, saya tidak akan terkejut, jika lebih banyak keputusan positif akan diketahui pada sesi ujian yang akan dibuat selepas ini kerana bagi saya virus ini telah pun tersebar,” katanya.

Verstraete berkata, dia membuat kenyataan berkenaan berikutan laporan media tempatan yang mengatakan tiga staf kejurulatihan kelab berkenaan disahkan positif Covid-19 baru-baru ini, setelah pulang daripada menjalani latihan minggu lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu pelik kerana pasukan berkenaan membuat keputusan untuk meneruskan sesi latihan pasukan seperti biasa.

“Keputusan itu (teruskan latihan) dilihat aneh tatkala kesemua staf terbabit sedang menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing, namun ia tidak melibatkan semua pemain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Verstraete menegaskan dia sudah tidak lagi memikirkan mengenai bola sepak tetapi lebih tertumpu kepada kesihatan keluarga dan teman wanitanya.

Katanya, hasrat untuk saingan Bundesliga untuk bersambung kembali pada Mei ini juga dilihat sebagai satu keputusan yang perlu difikirkan semula.

“Buat masa ini, bola sepak sudah tidak begitu penting buat saya, kerana virus ini berada terlalu hampir dengan kita semua.

“Kita perlu ambil serius dengan perkara ini. Bukan saya yang akan tentukan apa perlu dilakukan pada Bundesliga, tetapi apa yang boleh saya katakan saya sudah tidak fikirkan mengenai bola sepak,” katanya.