'Tiada masalah, guna kayu pun boleh'

Kayu sepanjang dua meter digunakan sebagai perantara pembayar zakat bagi menjaga jarak sosial.
Kayu sepanjang dua meter digunakan sebagai perantara pembayar zakat bagi menjaga jarak sosial.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jawatankuasa Masjid al-Hidayah Bandar Behrang 2020 di sini tampil dengan idea kreatif menggunakan sebatang kayu sebagai perantaraan proses pembayaran zakat fitrah secara pandu lalu.

Kayu sepanjang dua meter itu turut dilekatkan dengan sebuah bekas kecil bagi tujuan mengisi wang zakat.

Pengerusi masjid, Rusli Ahmad berkata, inisiatif itu digerakkan jawatankuasa masjid kerana mengambil kira penjarakkan sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurutnya, ia bukan sahaja memudahkan amil yang bertugas, orang ramai juga dapat melalui proses bayaran zakat dengan cara lebih selamat dan cepat.

"Kaunter pandu lalu memang dibenarkan dalam urusan pungutan zakat ini, atas sebab itu kita cadangkan gunakan kayu.

"Bukan sahaja jarak terjaga, pembayar zakat tidak perlu bersusah payah beratur, hanya kekal di kenderaan masing-masing," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Proses membayar zakat menjadi lebih efektif, pembayar zakat hanya perlu kekal di kenderaan masing-masing.
Proses membayar zakat menjadi lebih efektif, pembayar zakat hanya perlu kekal di kenderaan masing-masing.

Kaunter pandu lalu di masjid berkenaan dibuka setiap Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Rusli berkata, pihaknya menerima reaksi positif daripada kalangan kariah dan ada sebahagian masjid mahu menggunakan kaedah sama bagi tujuan berkenaan.

"Alhamdulillah, setakat ini proses berjalan lancar, kita buka dua pintu untuk proses masuk dan keluar.

"Jadi mereka yang datang hanya perlu melalui kaunter, lafaz akad zakat dibacakan tanpa bersalaman dan kemudian beredar," katanya.

Katanya, sejak kaunter dibuka Selasa lalu, lebih 100 pembayar zakat tampil melunaskan tanggungjawab mereka.

"Ada yang datang naik motosikal, kereta dan van, ada juga pembayar zakat ini kalangan orang luar, mereka nampak poster yang kami letakkan di pasar raya, jadi mereka datang ke masjid untuk membayar zakat," katanya.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebelum ini menyarankan tiga kaedah utama membayar zakat fitrah di negeri ini sepanjang tempoh PKP iaitu menerusi saluran dalam talian (online) melalui amil (kaedah manual) dan bayaran terus melalui Tabung Khas Fitrah.

Satu daripada tatacara kutipan zakat fitrah oleh amil adalah dengan kaunter pandu lalu yang diwujudkan di masjid-masjid utama daerah dan juga masjid yang berada di tepi jalan besar tanpa proses bersalaman.