Tiada masalah tidak jemput parti lain - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 pada Ahad. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Mohamed Khaled semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 pada Ahad. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada masalah untuk peringkat sayap tidak menjemput parti lain pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, ia bukanlah satu kewajipan untuk menjemput parti lain menyertai perhimpunan tersebut.

“Itu tidak jadi masalah. Bukannya wajib menjemput orang lain. Sebab PAU peringkat Pusat sudah jemput. Mungkin sayap tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan media berkenaan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkenaan tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke PAU bagi sayap pemuda.

Menurut Muhamad Akmal, pihaknya mahu memperbetulkan dahulu apa yang berlaku di 'rumahnya' sebelum menjemput mana-mana parti.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak kenyataan tersebut dengan menegaskan sayap wanita, pemuda dan puteri seharusnya mengikut kelaziman yang dibuat di peringkat PAU 2023 utama yang menjemput parti dalam Kerajaan Perpaduan.