PRN: Tiada masalah dalaman antara PH, BN - Salahuddin

Salahuddin bercakap pada sidang media selepas hadir Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai di Taman Rekreasi Taman Uda Utama hari ini. - Foto Bernama
Salahuddin bercakap pada sidang media selepas hadir Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai di Taman Rekreasi Taman Uda Utama hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli parti komponen daripada Pakatan Harapan (PH) dan BN dijangka tidak mempunyai masalah mengundi calon yang ditampilkan parti masing-masing dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menafikan timbul isu dalaman dalam kalangan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi, sebaliknya percaya mereka akan memberi sokongan dan undi kepada calon yang bukan daripada parti politik yang disokong.

"Ini sudah menjadi kelaziman bagi mana-mana parti politik yang membentuk gabungan bersama.

"Penyokong PH tidak berdepan masalah untuk mengundi calon daripada BN pada PRN di enam kelak dan penyokong BN juga dapat menyatakan sokongan yang sama.

"Saya tidak nampak ada masalah dalaman antara PH dan BN untuk kita memastikan PRN di enam negeri akan datang, malah percaya kita akan dapat bekerjasama dengan baik," katanya mengulas sama ada ahli di peringkat akar umbi kedua-dua gabungan itu akan memilih calon ditampilkan sekali gus mengenepikan sentimen dan permusuhan antara PH dan BN sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pulai di Taman Uda Utama, Tampoi di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Pada Jumaat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Menurut beliau, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama Kerajaan Perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu menyaksikan kestabilan politik negara.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, sememangnya itu merupakan disiplin pihaknya apabila mengadakan kerjasama politik bersama BN dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kita harap undi daripada penyokong PH dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada BN, begitu juga calon PH turut mendapat undi daripada ahli BN.

"Saya sudah banyak kali terlibat dalam gabungan seperti ini, bila kepimpinan sudah menetapkan pendirian mereka, ahli-ahli biasanya akan patuh dan dapat mengundi calon yang Kita tetapkan," katanya.

Ditanya mengenai desas-desus berlaku pergaduhan antara Amanah dan BN di Selangor menjelang PRN, Salahuddin menangkis dakwaan tersebut.

"Jika timbul isu seperti ini, Kita harap penyokong parti dapat mengambil maklumat daripada kepimpinan tertinggi parti masing-masing," ujarnya.