19 ahli sindiket perjudian haram dalam talian diberkas

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di premis di Jalan Raja Chulan, di sini Selasa lalu.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di premis di Jalan Raja Chulan, di sini Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 19 individu termasuk seorang wanita warga China ditahan dalam serbuan di dua premis di Jalan Raja Chulan, di sini, Selasa lalu, kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian haram dalam talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 17 individu termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam serbuan pada jam 3 petang.

“Kita berjaya merampas satu set komputer riba, 116 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua unit modem,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mazlan berkata, sejam kemudian, dua lelaki warga China telah ditahan sepasukan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Suspek yang ditahan berusia 25 dan 30 tahun. Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut, kita merampas dua set komputer riba dan dua buah telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.

Beliau berkata, jumlah nilai barang rampasan bagi kedua-dua kes ini dianggarkan RM 200,000.

“Hasil pemeriksaan terhadap kesemua suspek mendapati mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Mazlan berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti promosi perjudian saham/ Cryptocurrency di pasaran negara China menggunakan aplikasi WeChat.

Artikel Berkaitan:

“Anggaran keuntungan harian sindiket yang dipercayai sudah beroperasi hampir dua bulan ini adalah sebanyak RM150,000 sehari bersamaan RM4.5 juta sebulan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kadar sewa premis itu adalah sebanyak RM6,000 sebulan dan ia telah disewa oleh majikan suspek tersebut.

“Kesemua suspek direman selama 14 hari bermula 29 April lalu hingga 12 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.